Pilihanraya kampus UIA kian hangat

Bahang Pilihanraya Kampus (PRK) UIA kian hangat apabila selepas proses saringan melalui public speaking berjalan lancar. Demokrasi dalam PRK kali ini dapat dilihat apabila ramai calon bertanding tanpa sebarang sekatan oleh mana-mana pihak.

Di setiap fakulti wujud pertandingan dua atau tiga penjuru yang diwakili oleh calon Pro-Mahasiswa, Pro-Aspirasi dan calon Pro-Kementerian Pengajian Tinggi (KPT).

Persaingan sihat ini dapat dilihat apabila di Fakulti Ekonomi dan Pengurusan terdapat tujuh calon yang bakal bertanding yang menyaksikan pecahan undi yang ketara bakal berlaku nanti.

Hal ini juga berlaku di Fakulti Pengajian Ilmu Wahyu dan Warisan serta Institut Pendidikan apabila kemungkinan tujuh atau lapan calon bakal bertanding untuk merebut dua kerusi yang dipertandingkan bagi setiap fakulti.

Fenomena ini dijangka mencetus persaingan sengit di kalangan calon yang bertanding. Namun, khabar gembira buat Pro-Mahasiswa yang bakal menang tanpa bertanding di beberapa fakulti sama ada di kampus UIA Gombak mahupun UIA Kuantan apabila tiada calon lawan yang mampu menyaingi tokoh Pro-Mahasiswa di fakulti-fakulti tersebut.

Hari Penamaan Calon PRK UIA akan diadakan pada hari ini, iaitu 16 Februari 2011, di Galeri Awam, Fakulti Seni Bina.

Penyerahan borang pencalonan akan bermula jam 8.30 pagi dan calon-calon yang bertanding secara rasmi akan diumumkan pada 12.30 tengah hari oleh Ketua Suruhanjaya P/raya Kampus, Ust Fauzi b Muda, Pengetua Mahalah Asrama Ali.

Oleh: Ubaid Abd Akla, Mahasiswa Tahun Akhir Fakulti Pengajian Ilmu Wahyu dan Warisan. Penulis merupakan Setiausaha Agung, Kelab Ma’ruf UIAM sesi 2010/11.