MB Selangor bakal umum canselor baru Unisel

Menteri besar Selangor Tan Sri Khalid Ibrahim dijangka akan mengumumkan Canselor baru Universiti Industri Selangor (Unisel) pada Isnin depan.

Seorang pegawai Unisel berkata, pengumuman itu dijangka akan dibuat dalam satu majlis penjenamaan semula universiti berkenaan di kampusnya di Bestari Jaya pada hari berkenaan.

“Kita jangkakan nama canselor yang baru akan diumumkan oleh menteri besar dalam masa terdekat.

“Kemungkinan besar pada majlis penjenamaan tersebut memandangkan satu perjumpaan bersama lebih 1,000 kakitangan tetap dan kontrak akan diadakan serentak dalam majlis itu,” menurut sumber tersebut ketika dihubungi Komunitikini hari ini.

Jawatan canselor Unisel kosong selepas isteri Perdana Menteri Datin Seri Rosmah Mansor mengumumkan pengundurannya dari jawatan itu pada 20 November lepas.

Mengulas lanjut, pegawai Unisel itu juga berkata, pertemuan antara Khalid dan kakitangan berkenaan merupakan majlis pertama seumpamanya tahun ini – melibatkan seluruh kakitangan dari kampus Unisel Shah Alam dan Bestari Jaya.

Unisel jadi Universiti Selangor

Dalam perkembangan berkaitan, Universiti Industri Selangor (Unisel) pula bakal dikenali dengan nama baru iaitu Universiti Selangor, susulan penjenamaan semula itu.

Presiden dan naib canselor Unisel Datuk Dr Rosti Saruwono berkata nama baru itu dipilih bagi menyesuaikan trend global dunia pendidikan pada hari ini yang lebih meluas dan tidak hanya tertumpu pada satu bidang.

“Singkatan Unisel masih dikekalkan dan nama baru ini dipilih sempena penjenamaan semula Unisel setelah 11 tahun ditubuhkan termasuk logo baru yang akan dilancarkan pada hari yang sama,” katanya dalam satu sidang media.

Katanya, penjenamaan semula itu dibuat hasil daripada pandangan dan perbincangan membabitkan semua pihak termasuk tenaga pengajar dan pentadbiran Unisel sejak pertengahan tahun lepas bagi memastikan institusi pengajian tinggi (IPT) itu mampu terus bersaing.

Rosti berkata perkataan ‘Industri’ yang digunakan sebelum ini menimbulkan kekeliruan kepada ibu bapa dan pelajar yang beranggapan Unisel hanya menawarkan kursus berkaitan bidang industri berat dan kejuruteraan.

“Kami mempunyai pelbagai kursus dan merangkumi semua lapangan termasuk Kejururawatan, Komunikasi Massa, Pendidikan dan Fotografi yang ditawarkan kepada pelajar di peringkat diploma dan ijazah pertama,” katanya.