517 kes pembuangan bayi sejak 2005

Sebanyak 517 kes pembuangan bayi dilaporkan sejak tahun 2005 hingga Januari tahun ini.

Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Bukit Aman Datuk Seri Mohd Bakri Mohd Zinin berkata jumlah itu merangkumi 203 orang bayi lelaki, 164 orang bayi perempuan dan 150 orang bayi yang tidak diketahui jantinanya.

“Bagi kes tidak dikenal pasti jantina, ini adalah kerana keadaan mayat yang reput dan bedah siasat tidak dapat dilakukan,” katanya kepada pemberita di pejabatnya di sini hari ini.

Beliau berkata daripada 517 bayi itu, sebanyak 230 merupakan bayi yang hidup manakala 287 pula bayi yang telah meninggal dunia.

Mohd Bakri berkata seramai 37 orang suspek telah ditangkap dari 2005 hingga tahun ini termasuk empat orang pada Januari ini berhubung kes pembuangan bayi.

Dalam tempoh yang sama, 18 kes telah dituduh di mahkamah dan sebanyak sembilan kes telahpun dijatuhi hukuman, katanya.

Menurutnya hasil kajian mendapati lokasi yang paling popular untuk jenayah ini adalah di kawasan perumahan dan tempat pembuangan sampah selain di tepi jalan, masjid, sungai, semak dan dalam tandas.

Mohd Bakri berkata polis berdepan dengan kekangan dalam siasatan jenayah tersebut seperti kesukaran untuk mengesan suspek, tidak dapat mengumpulkan bukti yang mencukupi kerana kebanyakan bayi telah reput.

“Ujian DNA tidak dapat dilakukan kerana tiada sampel yang diperolehi daripada suspek untuk perbandingan,” katanya.

Justeru itu, polis mencadangkan kepada semua pihak yang terlibat dalam mencegah jenayah ini sama ada kerajaan dan bukan kerajaan agar menekankan aspek pencegahan dan rawatan secara serentak.

Sementara itu, beliau berkata pihaknya kini diberi tanggungjawab mengendalikan sistem amaran awal kehilangan kanak-kanak yang dikenali sebagai NUR Alert (National Urgent Response Alert) bagi mengesan dan menghebahkan kehilangan kanak-kanak berumur 12 tahun ke bawah.

Katanya pihaknya diberi kepercayaan oleh Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat dalam isu ini memandangkan siasatan dilakukan oleh polis turut meliputi pencarian bukti dan penyebaran maklumat.

“Oleh itu bagi polis, kita mengharapkan kerjasama dari semua pihak dalam mengendalikan perkara itu,” katanya.

Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Datuk Seri Shahrizat Abdul Jalil baru-baru ini berkata, kementerian itu bersama-sama polis telah memuktamadkan pelaksanaan sistem itu setelah ia dipersetujui kedua-dua pihak.

“Kalau ada kes-kes kehilangan, sistem ini akan digerakkan segera,” katanya.

-Bernama