Sesi dialog KPT-Mahasiswa perlu diadakan dengan segera

Pro-Mahasiswa Nasional hari ini menggesa Kementerian Pengajian Tinggi (KPT) agar menjalankan sesi dialog di antara pihak kementerian dan mahasiswa berikutan tiada respon yang diterima berhubung tuntutan memorandum yang dihantar kumpulan itu minggu lalu.

Pengerusinya, Mohd Taufiq bin Abdul menjelaskan bahawa sehingga hari ini pihak mereka belum melihat apa-apa respon mahupun tindakan yang diambil oleh pihak KPT berhubung tuntutan-tuntutan yang disebutkan di dalam memorandum tersebut.

Beliau dalam kenyataannya berkata pihak KPT seharusnya lebih proaktif dalam merangka tindakan bagi menyelesaikan isu-isu kampus terutama berkenaan pilihanraya kampus.

“Kita sudah hantar memorandum kepada mereka (KPT) dengan gesaan agar isu demokrasi kampus ini diselesaikan dengan segera. Tapi sampai sekarang mereka masih diam,” katanya.

Malah, beliau juga menyifatkan tindakan KPT ini sebagai sengaja melambat-lambatkan proses pencerahan demokrasi kampus, berikutan proses pemilihan perwakilan mahasiswa bakal berlangsung kurang 2 minggu dari sekarang.

“Isu-isu di kampus banyak yang masih tak terjawab. Di kampus-kampus Lembah Klang khususnya, banyak masalah yang terjadi akibat daripada ketidakseriusan KPT. KPT tidak seharusnya lepas tangan,” tegasnya.

Menurutnya, kami di peringkat mahasiswa mahukan menteri atau timbalan menteri KPT turun padang sendiri memberi penjelasan kepada mahasiswa.

“Kami mahukan dialog mahasiswa dan KPT dijalankan segera,” ujarnya.

Terdahulu Pro-Mahasiswa Nasional membuat beberapa tuntutan termasuk menuntut mahasiswa dibebaskan daripada cengkaman politik kepartian dan mengembalikan semula nilai-nilai demokrasi kampus.

Dalam hal ini, mereka menuntut proses pemilihan dijalankan di fakulti, pemansuhan e-voting dan membawa masuk suruhanjaya bebas bagi memantau perjalanan pilihanraya kampus.

Mereka juga menuntut agar tarikh pilihanraya di semua kampus diumumkan segera di samping menggesa agar tempoh berkempen dipanjangkan selama 7 hari.