PIBG Seaport mohon sekolah Tamil

PIBG Seaport mohon sekolah Tamil

Persatuan Ibu Bapa dan Guru SJK (T) Seaport memohon pihak berwajib mempercepatkan kerja pembinaan penempatan baru sekolah seperti dijanjikan bagi menampung jumlah bilangan pelajar semakin bertambah sekitar DUN Seri Setia.

Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG)  SJK (T) Seaport memohon pihak berwajib mempercepatkan kerja pembinaan penempatan baru sekolah seperti dijanjikan bagi menampung jumlah bilangan pelajar semakin bertambah sekitar DUN Seri Setia.

Pengerusinya, R Purushothamal berkata ia berikutan masalah dihadapi ibu bapa terpaksa menghantar anak mereka ke sekolah jauh kira-kira 10 kilometer daripada rumah mereka.

Selain itu, menurutnya ibu bapa terpaksa menanggung  kos perbelanjaan tambang bas anggaran RM100 sebulan.

“Faktor ini merupakan kekangan utama terpaksa dihadapi ibu bapa di sini kerana kebanyakan mereka  daripada golongan berpendapatan rendah,” katanya ditemui pemberita di Petaling Jaya, hari ini.

Mengulas lanjut, Purushothamal berkata walaupun sekolah sementara telah lama dibina sejak 15 tahun lalu,  beliau mendapati keadaan infrastruktur di tapak sekolah di Kelana Jaya tidak lengkap tiada padang untuk pelajar bersukan.

“Sehingga kini sekolah sementara mempunyai 6 buah kelas mampu menempatkan seramai 112 pelajar,” katanya.

Beliau memohon kerajaan pusat supaya membina 24 buah kelas berbanding 18 buah kelas yang diluluskan sebelum ini.

See also  LEGOLAND (R) School Challenge calls young Asian builders 

“Ia mampu menampung kira-kira 700 pelajar tinggal sekitar Kampung Lindungan, Desa Mentari, Desaria dan Dato Hormat,” katanya.

Isu keluasan tapak sekolah selesai

Sementara itu, ADUN Seri Setia, Nik Nazmi Nik Ahmad berkata isu pemindahan sekolah tersebut yang sebelum ini mendapat bantahan daripada pihak PIBG dan penduduk berikut isu keluasan tapak telah selesai.

Menurutnya, sebelum ini pemindahan tersebut tertangguh pada 2008 apabila PIBG dan penduduk membantah pemberian tapak 1 ekar yang ditawarkan oleh kerajaan mentadbir terdahulu.

“Kerajaan Negeri memutuskan supaya tapak SJK (T) Seaport di Kampung Lindungan ditetapkan pada 1.5 ekar pada November 2010,” jelasnya pada sidang media itu yang turut dihadiri ahli majlis MBPJ Zon 24, Halimey Abu Bakar.

Beliau berkata, hasil rundingan itu dicapai selepas mengadakan perbincangan melibatkan semua pihak antara PIBG, penduduk dan kerajaan Selangor dipengerusikan oleh Menteri Besar Tan Sri Khalid Ibrahim.

See also  Taylor's Uni shines in QS World University Rankings

Mengulas lanjut, menurutnya dalam mesyuarat tersebut pihaknya dimaklumkan bahawa Perbadanan Kemajuan Negeri Selangor (PKNS) telah pun menyerahkan cek sebanyak RM1.2 juta pada 2008 sebagai sumbangan kepada pembinaan sekolah tersebut.

“Pihak Jabatan Kerja Raya (JKR) turut memaklumkan bahawa pelan pembinaan sekolah dengan 18 buah kelas berbanding rancangan membina 10 buah kelas terdahulu sudahpun diluluskan,” katanya.

Sehubungan itu, beliau berharap agar pembinaan SJKT Seaport di Kampung Lindungan dapat dimulakan dengan kadar segera bagi memberikan kemudahan yang lebih selesa kepada pelajar.

“Secara tidak langsung penduduk sekitar kawasan perumahan Desa Mentari, Desaria dan Dato Hormat dapat menikmati kemudahan pendidikan yang lebih sesuai untuk anak-anak mereka,” ujarnya.

Dalam perkembangan berkaitan, beliau bersama pemberita turut sama meninjau ke tapak sekolah SJK (T) yang bakal dibina di Kampung Lindungan kira-kira 10 minit selepas sidang media berakhir.