Mangsa banjir Johor cecah 45,000

Mangsa banjir Johor cecah 45,000

Sehingga pukul 10 pagi ini terdapat 45,145 mangsa banjir daripada 11,104 keluarga di 267 pusat pemindahan di seluruh Johor, demikian lapor portal rasmi kerajaan negeri Johor.

Sehingga pukul 10 pagi ini terdapat  45,145 mangsa banjir daripada 11,104 keluarga di 267 pusat pemindahan di seluruh Johor, demikian lapor portal rasmi kerajaan negeri Johor.

Laporan di www.johordt.gov.my itu menyebut daerah Segamat mencatatkan jumlah mangsa teramai iaitu 19,441 orang membabitkan 4,791 keluarga, diikuti Kluang (9,239 orang daripada 2,449 keluarga)

Portal itu juga melaporkan seramai 2,736 mangsa daripada 731 keluarga dipindahkan di Johor Baharu, 2,445 orang (566 keluarga) di Muar, 2,629 orang (581 keluarga) di Batu Pahat dan 658 orang daripada 150 keluarga di Pontian.

Kota Tinggi pula mencatatkan 2,438 mangsa melibatkan 577 keluarga, Mersing (99 orang daripada 31 keluarga), Ledang (4,312 orang daripada 968 keluarga) dan Kulaijaya merekodkan 1,148 mangsa daripada 260 keluarga.

Laporan portal itu turut menyatakan daripada 267 pusat pemindahan, 93 adalah di Segamat, Kluang (45), Johor Baharu (17), Muar (22), Batu Pahat (28), Pontian (9), Kota Tinggi (19), Mersing (1), Ledang (26) dan Kulaijaya (7).

Sehingga kini dua kematian dilaporkan membabitkan dua wanita dalam kejadian di Segamat dan Kulaijaya pada Ahad lepas.

Sementara itu, jalan yang masih ditutup di Segamat membabitkan Batu 8 di Jalan Muar-Segamat, jambatan Sungai Penarah di Km 63 Jalan Muar-Segamat, Km 217 Jalan Johor Baharu-Seremban (Taman Anggerik) dan jalan masuk ke Felda Redong akibat jambatan runtuh.

Di Kluang pula, jalan yang ditutup ialah di Km 79 hingga Km 81 Jalan Kluang-Mersing dan Km 75 Jalan Kluang-Jemaluang, manakala di Kota Tinggi membabitkan Km 3 Jalan Kampung Kelantan-Panti.

-Bernama