OPINION: Demokrasi kampus semakin`berkubur` di UM

Universiti adalah medan terbaik untuk mengasah bakat dan menggilap potensi diri dalam kepimpinan.

Ahli Majlis Perwakilan Mahasiswa yang dipilih melalui Pilihanraya Kampus merupakan wadah ampuh untuk menjelmakan ianya sebagai satu realiti.

Paradigma dan praktikal demokrasi yang dibentuk di dalam kampus ini dilihat platform terbaik untuk membina kredibiliti mahasiswa berwibawa unutuk generasi akan datang.

Umum mengetahui bagaimana pindaan Akta Universiti dan Kolej Universiti 1971 (AUKU) yang terkini memberikan sedikit ruang untuk mahasiswa bernafas dalam ruangan demokrasi di negara ini. Walaubagaimanapun , ianya ternyata tidak berlaku di kampus universiti malaya ini.

Bahkan lebih teruk lagi , mahasiswa semakin dikongkong dan disekat dengan pelbagai alasan yang tidak munasabah.

Berikut merupakan siri-siri penganiayaan terhadap mahasiswa yang berlaku di kampus ini.

1.0) Aktiviti ‘ziarah kolej’ yang diancam akan dikenakan Tatatertib Universiti.

Pada 4 Januari lalu, Persatuan Mahasiswa Islam Universiti Malaya dan Pro Mahasiswa Universiti Malaya telah mengadakan perbincangan dengan Naib Canselor dan Timbalan Naib Canselor Universiti Malaya untuk mendapatkan penjelasan berkaitan pelaksanaan zero balance ( tiada baki hutang yuran ) yang dilaksanakan oleh pihak pentadbiran mulai semester ini.

Di akhir perbincangan ini pihak pentadbiran telah bersetuju untuk membenarkan Mahasiswa mendaftar subek walaupun masih berbaki RM350.00.

Dengan pendirian dan keputusan pentadbiran yang terbaru ini, Pro Mahasiswa mengambil inisiatif dengan mengadakan Ziarah Mesra ke kolej-kolej kediaman bagi memaklumkan hal ini kepada Mahasiswa di samping menziarahi rakan-rakan mahasiswa di kolej-kolej Kediaman.

Tetapi malangnya, aktiviti ini mendapat halangan daripada pihak kolej sehingga terdapat Aktivis Pro Mahasiswa yang datang ke kolej-kolej tersebut digelar sebagai  `penceroboh`. Kenapa hak kami sebagai Pelajar Universiti Malaya dituduh sedemikian walhal kami juga ada hak untuk bertemu rakan-rakan mahasiswa di Kolej-Kolej Kediaman.

Pada 7 Januari lalu, salah seorang ahli pro mahasiswa yang mengikuti aktiviti ziarah kolej tersebut telah diminta untuk berjumpa dengan Timbalan Naib Cancelor HEPA UM,Prof. Dr Rohana Yusof.

Semasa dalam pertemuan, Mohd Farid telah dimarahi dan telah dituduh menceroboh kolej kediaman tersebut .

Pada asalnya, beliau telah disabitkan dengan isu gambar penyelia tetapi telah dituduh sebagai penceroboh oleh TNC HEPA dan diancam akan dikenakan Tatatertib Universiti.

Wajarkah mahasiswa ini ditahan sedangkan, beliau memperjuangkan hak mahasiswa yang lain.

Kami amat terkilan dan kecewa dengan tindakan sesetengah pihak yang menuduh kami sebagai penceroboh sedangkan kami juga adalah sebagai Pelajar Berdaftar di Universiti Malaya yang berstatus aktif dan berhak untuk keluar masuk di Universiti ini.

Bagaimana mungkin pelajar di Universiti sendiri digelar penceroboh, ini sesuatu yang amat mengecewakan dan memalukan.

Kami juga terkilan dengan sikap TNC HEPA, Prof Dr. Rohana bt Yusof yang membuat tuduhan yang salah kepada seorang aktivis kami sehingga diancam untuk dikenakan Tindakan Tatatertib. Di Mana hak Mahasiswa? Kami bukanlah penceroboh di tempat sendiri.

2.0) Diskusi Mahasiswa di Akademi Pengajian Islam dihalang HEP

Pada 22 januari lalu,Pro mahasiswa telah menganjurkan untuk diadakan satu Diskusi Mahasiswa bertempat di Akademi Pengajian Islam Universiti Malaya, yang bakal menampilkan Pengerusi Pro Mahasiswa, Farid Jalpah, Speaker SPKUM Mohd Asri bin Zulkifli dan YDP MPMUM 2010/2011 Saudara Kahairul Anuar bin Abu Kassim.

Walau bagaimanapun ahli panel kedua dan ketiga tidak dapat menghadirkan diri dan paling malang, diskusi ini telah dihalang oleh Pihak HEP dengan menampal notis di kolej-kolej kediaman atas alasan tidak mendapat kebenaran dan berbaur politik.

Seawal jam 6 petang pihak keselamatan telah membuat halangan di jalan masuk Akademi Pengajian Islam.

Kami di peringkat Pro Mahasiswa sangat terkilan dan kecewa dengan tindakan Timbalan Naib Canselor HEP yang cuba menyekat Mahasiswa dengan mengeluarkan Notis Amaran di Kolej-Kolej Kediaman.

Sebab yang dinyatakan TNC HEP ketika kami menghubungi beliau adalah kerana diskusi ini program berbaur politik dan juga dianjurkan oleh Pro Mahasiswa.

Sedangkan tujuan sebenar diadakan Diskusi Mahasiswa ini bukanlah sebagai sebuah diskusi politik, tetapi hanya ingin membincangkan secara terbuka dan ilmiah berkenaan peranan MPMUM.

Begitu juga supaya mahasiswa dapat menilai dan memberi pandangan supaya mahasiswa kita lebih berdaya saing dan maju seiring dengan pembawaan Universiti yang inginkan mahasiswa menuju kecemerlangan.

Kami dari Pro Mahasiswa mengambil pendekatan dengan menganjurkan diskusi ini supaya dibincangkan secara ilmiah dan intelektual, akan tetapi hak Kebebasan bersuara kami disekat.

Ini amat bertentangan dengan Perkara 10, Perlembagaan Persekutuan Malaysia yang memperuntukkan:

Perkara 10. Kebebasan bercakap, berhimpun dan berpersatuan.
(1) Tertakluk kepada Fasal (2), (3) dan (4)—
(a) tiap-tiap warganegara berhak kepada kebebasan bercakap dan bersuara;
(b) semua warganegara berhak untuk berhimpun secara aman dan tanpa senjata;
(c) semua warganegara berhak untuk membentuk persatuan.

Berikutan notis amaran yang dikeluarkan pihak HEP berkenaan tidak mendapat kebenaran HEP adalah sesuatu yang amat mengecewakan Mahasiswa.

Ini kerana, diskusi ini dirancang untuk diadakan hanya di luar Bilik Kuliah dan bukannya program formal yang mengundang VIP untuk dirasmikan dan sebagainya.

Diskusi ini diibaratkan perbincangan antara mahasiswa dalam membantu untuk menyelesaikan permasalahan mahasiswa dan mencari penyelesaian supaya badan pelajar iaitu (MPMUM) yang bakal memimpin masa hadapan bakal menjadi suatu badan yang memperjuangkan suara dan kebajikan Mahasiswa yang bukannya duduk di bawah telunjuk orang tertentu.

Demokrasi Kampus semakin terkubur di Universiti Malaya, di sini dapat dilihat hampir kesemua aktiviti yang dianjurkan oleh Mahasiswa disekat. Sehinggakan program ziarah antara mahasiswa dan diskusi antara Mahasiswa perlu meminta kebenaran.

(Gambar hiasan)

Di manakah `hak kami` sebagai Mahasiswa di Universiti ini di mana mahasiswa diperlakukan seperti dikandang dan hak kami semakin terkubur. Mengapa mahasiswa dijadikan seperti kanak-kanak di Tadika.

Kami sebagai mahasiswa mempunyai hak untuk bersuara dan menyatakan idealisme yang kami perjuangkan.

Bagaimana mungkin dapat melahirkan mahasiswa yang berminda kelas pertama sekiranya hak untuk berdiskusi dan mahu menghidupkan suasana intelektual disekat dan dihalang oleh pentadbiran.

3.0) Pendirian dan Tuntutan kami daripada Pro Mahasiswa

3.1) Kami menyatakan kekecewaan dan kekesalan kami terhadap sikap tidak terbuka HEP yang sering menyekat mahasiswa dengan alasan yang tidak munasabah.

3.2) Kami daripada Pro Mahasiswa menjemput dan mencabar TNC HEP untuk bersama-sama mahasiswa sebagai ahli panel dalam diskusi yang bakal kita adakan pada 27 Januari ini. Mahasiswa akan terus bangkit untuk kembalikan hak mahasiswa di Kampus.

Bahagian depan mahasiswa yang bersama-sama turut menyokong;

1-Pro Mahasiswa Universiti Malaya (PRO M UM)
2-Gabungan Mahasiswa Islam SeMalaysia (GAMIS)
3-Majlis Perwakilan Mahasiswa Nasional (MPMN)
4-Majlis Perwakilan Mahasiswa Pro Mahasiswa
4-Hal Ehwal Wanita & Siswi PMIUM (HEWI PMIUM)
5-Persatuan Mahasiswa Selangor (PERMAS )
6-Persatuan Mahasiswa Kelantan (PMKUM)
7-Persatuan Mahasiswa Kedah (PERMADAH)
8-Persatuan Mahasiswa Pahang (PMPUM)
9-Persatuan Mahasiswa Negeri Sembilan (PERMANIS)
10-Persatuan Bahasa Arab (PBAUM)

*Kenyataan ini adalah hasil nukilan Pro Mahasiswa Universiti Malaya