Dewan baru di Kampung Tompias, Ranau

Setelah sekian lama menanti, penduduk Kampung Tampios yang terletak kira-kira 60 kilometer dari sini, kini boleh menarik nafas lega dengan suntikan semangat baru apabila dewan lama serta usang dan sudah tidak boleh digunakan telah digantikan dengan dewan mini baru yang berukuran 30’ x 60’.

Sebelum ini, penduduk disini mengalami kesukaran menjalani aktiviti-aktiviti kemasyarakatan kerana dewan yang sedia ada sudah tidak boleh digunakan bagi tujuan-tujuan tersebut.

Dengan adanya dewan mini baru yang dirasmikan oleh Ahli Dewan Undangan Negeri kawasan Paginatan Datuk Ewon Ebin, maka aktiviti-aktiviti penduduk setempat menjadi lancar semula ekoran adanya dewan tersebut sebagai pusat pertemuan.

Dalam pada itu, Ewon yang juga Menteri Pembangunan Luar Bandar Sabah, melahirkan rasa terima kasih kepada kerajaan negeri Sabah khususnya Ketua Menteri Datuk Seri Panglima Musa Haji Aman kerana meluluskan peruntukan sebanyak RM90 ribu bagi pembinaan mini dewan tersebut yang diperbuat daripada konkrit dan tiang besi.

Ewon turut meluluskan peruntukan tambahan sebanyak RM6 ribu bagi tujuan membeli kelengkapan dewan seperti kerusi , meja dan kos pendawaian letrik serta meluluskan peruntukan sebanyak RM5 ribu lagi bagi membesarkan sebuah gereja yang terdapat di kampung tersebut.