Penduduk rumah terbengkalai di Gombak protes Selasa depan

Penduduk rumah terbengkalai di Gombak protes Selasa depan

Kira-kira 60 penduduk Persatuan Badan Bertindak Casa Gemilang (BBCG) akan menganjurkan perhimpunan secara aman dan diam Selasa hadapan bagi menyelesaikan masalah perumahan terbengkalai servis apartmen dan rumah dijanjikan pemaju sejak 2003.
Badan itu  menggesa pemaju kontraktor mengembalikan keadilan kepada semua pembeli projek perumahan merangkumi 200 unit servis apartmen dan 52 unit rumah bandar di Gombak.
Pengerusinya Jaafar Ismail berkata, perhimpunan itu tidak akan menggunakan sebarang alat pembesar suara, mengedarkan sebarang risalah bertulis, menimbulkan provokasi dan gangguan menghalang lalulintas.
“Sebaliknya perhimpunan ini akan diadakan secara aman dan diam dengan menggunakan kain rentang dan sepanduk sahaja,” katanya memimpin badan itu yang ditubuhkan secara rasmi pada 14 Disember 2008.
Projek Casa Gemilang hanya dimulakan pada tahun 2005 sedangkan jualan unit rumah telah dijual sejak tahun 2003.
Nama projek seperti di papan tanda tapak projek adalah `rumah pangsa kos sederhana` dan berlainan sama sekali dengan perjanjian jual beli yang ditandatangani iaitu `servis apartmen`.
Status tanah projek yang dibangunkan masih berstatus `tanah pertanian` berdasarkan maklumat yang diperolehi daripada Pejabat Tanah dan Galian Daerah Gombak, Selangor menjadi tanda tanya.
Dapat permit Polis

Ditanya sudah memohon permit daripada Polis, beliau memberitahu pihaknya telah mendapat permit kelulusan untuk berhimpun daripada Polis daerah Gombak.
Menurutnya permit kelulusan itu diperolehi hari ini setelah pihaknya menunggu seminggu lalu.
“Berdasarkan kenyataan permit itu, polis membenarkan kami berhimpun dari jam 10 pagi hingga 12 tengah hari,” katanya dihubungi Komunitikini hari ini.
Pemaju berdiam diri

Jaafar berkata, kebanyakan surat perjanjian yang ditandatangani pemilik rumah telahpun melebih tempoh 3 tahun projek siap seperti yang dipersetujui dan dijanjikan oleh syarikat pemaju.
Menurutnya, persatuan itu kesal dengan sikap pemaju yang tidak bertanggungjawab dan hanya mendiamkan diri setelah projek mengalami masalah iaitu tidak mahu memaklumkan tentang status projek kepada pembeli.
“Selain itu, pemaju tidak mahu memberikan respon apabila menghadiri mesyuarat bersama pembeli mahupun pihak Lembaga Pengurusan Hartanah Selangor (LPHS) dan Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT),” katanya.
Mengulas lanjut, Jaafar berkata pemaju telah diarahkan henti kerja pada tahun 2006 hingga 2009 bagi projek rumah teres 2 tingkat Desa Gemilang di atas sebab-sebab tidak memenuhi syarat pihak berkuasa tempatan dan faktor keselamatan cerun bukit dan struktur tanah tidak kukuh.
Menurutnya, untuk makluman, pemaju tidak berdaftar sebagai pemaju yang sah dan tidak mempunyai lesen pemaju.
“Apa yang menjadi tanda tanya bagaimana pihak berkuasa meluluskan projek walaupun pemaju tidak memenuhi syarat,” katanya.
Sehubungan itu, Komunitikini akan cuba mendapatkan kenyataan maklum balas daripada pihak kontraktor terbabit berhubung perkara tersebut.