Isu PPHTM: Kementerian tepis pada ROS

Seorang pegawai kanan Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT) berkata Jabatan Pendaftaran Pertubuhan Malaysia (ROS) “lebih bertanggungjawab” terhadap permohonan pendaftaran pertubuhan sebuah persatuan pemilik hartanah.

Pegawai yang enggan namanya didedahkan itu juga berkata, KPKT tidak membuat keputusan untuk menolak permohonan oleh Persatuan Pemilik Hartanah Terbengkalai Malaysia (PPHTM) itu.

Beliau berkata demikian ketika mengulas kenyataan PPHTM semalam yang mendakwa ROS telah ditekan oleh KPKT supaya menolak permohonan berkenaan.

“Bukan KPKT yang membuat keputusan (menolak permohonan) tersebut. Saya rasa ROS lebih bertanggungjawab terhadap perkara ini, merujuk kepada peranan dan fungsi jabatan itu,” menurut sumber itu lagi ketika dihubungi Malaysiakini hari ini.

Beliau juga enggan menjelaskan butiran permohonan berkenaan kerana dokumen tersebut diklasifikasikan sebagai dokumen rahsia bawah Akta Rahsia Rasmi.

“(Butiran) itu anda kena rujuk kepada (menteri),” katanya lagi ketika diminta mengulas lanjut mengenai status sebenar permohonan oleh PPHTM.

Pendaftaran PPHTM kini menjadi isu berikutan sambutan yang menggalakkan apabila kira-kira 220 pembeli dan anggota keluarga mereka yang menjadi mangsa projek rumah terbengkalai mengadakan satu perhimpunan Jumaat lalu.

Golongan berkenaan rata-ratanya kecewa dengan projek perumahan mereka yang gagal disiapkan oleh pemaju dan penubuhan PPHTM diharapkan akan dapat membantu pembeli rumah teraniaya berkenaan mendapatkan pengadilan.