Kawal populasi binatang liar

Kawal populasi binatang liar

Buat julung kalinya program pengembirian anjing dan kucing yang bakal dilaksanakan melibatkan semua wakil terlibat dalam usaha untuk merealisasikan hasrat tersebut.

Masalah anjing dan kucing liar serta pembiakan haiwan yang tidak terkawal sering dibangkitkan oleh penduduk setempat kerana menggangu ketenteraman awam dan sering bertindak liar dan berkeliaran merata-rata tempat.

Sehubungan itu, program pengembirian anjing dan kucing yang bakal dilaksanakan Majlis Perbandaran Subang Jaya (MPSJ), Pejabat Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Teratai, Jawatankuasa Penduduk (JKP) MPAJ Zon 24 dan ‘Start Control Overpopulation Pet Event’ (SCOPE) dapat mengawal populasi binatang itu.

Pengarah Jabatan Perkhidmatan Perbandaran dan Kesihatan agensi penguatkuasaan MPSJ, Dr Sarodin Shahri berkata hampir setiap hari pihaknya menerima aduan berkenaan anjing liar malah anjing bertuan.

Menurutnya, pada masa yang sama pihak kami turut menerima aduan orang awam yang berkunjung ke beberapa medan selera turut membangkitkan pekara berkenaan kucing liar yang sering kali berkeliaran di sekitar kawasan sekali gus menggangu penduduk.

“Justeru itu, buat julung kalinya program pengembirian anjing dan kucing yang bakal dilaksanakan melibatkan semua wakil terlibat untuk merealisasikan hasrat tersebut.

“Difahamkan program ini dapat dijadikan sebagai galakan kepada masyarakat agar lebih bertanggungjawab menjaga haiwan peliharaan masing-masing,” katanya kepada pemberita di Menara MPAJ.

Sementara itu, ADUN Teratai, Jenice Lee berkata, beliau melihat penguatkuasaan menangkap anjing liar juga belum berkesan kerana punca masalah tersebut adalah disebabkan populasi anjing yang semakin banyak.

“Difahamkan dalam enam bulan seekor anjing boleh melahirkan kira-kira 8 ekor anak anjing, perkara ini harus diselesaikan dengan cara lebih berperikemanusian bukan hanya sekadar melakukan tindakan membunuh haiwan tersebut,” katanya.

Menurutnya, beliau menyeru pemilik anjing dan kucing harus menjaga kebersihan dan mengawal haiwan peliharaan mereka.

“Pemilik haiwan tersebut harus berasa perihatin terhadap jiran berdekatan, oleh itu mereka harus menjaga kebersihan dan mengawal haiwan peliharaan mereka.

Pihak saya juga akan mencadangkan kepada Kerajaan Negeri Selangor supaya program pengembirian ini akan diperluaskan kepada seluruh agensi penguatkuasaan yang lain jika program ini dilihat berjaya” katanya.

Dalam masa yang sama, Ahli Majlis Sian Keng Eng berkata, program tersebut dijangka akan dilaksanakan pada 19 Disember ini di tapak lapang di Cheras Hartamas.

“Difahamkan sebanyak 25 ekor anjing dan kucing bukan jenis pedigree akan dikembirikan, kami turut mengalu-alukan serta membuka penyertaan ini kepada ke semua pemilik anjing dan kucing yang mendiami di bawah kawasan Dun Teratai,” katanya.

Tambahnya, dalam masa yang sama, sebuah kaunter turut dibuka untuk pemilik anjing mengambil lesen dan vaksin bagi haiwan peliharaan mereka.

“Kami turut mengadakan taklimat berkenaan penjagaan haiwan tersebut dan pelbagai aktiviti sepanjang program itu. Program ini juga merupakan salah satu program pinor untuk PBT di Selangor, saya berharap program ini dapat menimbulkan kesedaran terhadap PBT lain,” katanya.