50 pengusaha ternakan ikan rugi RM 416,000

50 pengusaha ternakan ikan rugi RM 416,000

Banjir di Perlis menyebabkan ternakan ikan termasuk tilapia, keli, ketutu, sepat Siam, haruan dan puyu terlepas daripada kolam yang keseluruhannya membabitkan kawasan seluas lima hektar.

Lima puluh pengusaha ternakan ikan air tawar dan air payau dalam kolam di Perlis kerugian sebanyak RM416,000 akibat banjir yang melanda negeri ini awal bulan ini, kata Pengerusi Jawatankuasa Pertanian dan Industri Asas Tani Perlis, Sabry Ahmad.

Banjir itu menyebabkan ternakan ikan termasuk tilapia, keli, ketutu, sepat Siam, haruan dan puyu terlepas daripada kolam yang keseluruhannya membabitkan kawasan seluas lima hektar.

Selain kehilangan ikan, para pemilik kolam juga mengalami kerugian akibat kerosakan fizikal pada kolam mereka seperti ban pecah, pagar runtuh, sangkar ikan dan tangki rosak serta pam air yang tenggelam.

Beliau berkata demikian semasa berucap pada majlis penyerahan bantuan benih dan makanan ikan tilapia anjuran Jabatan Perikanan dan Lembaga Kemajuan Pertanian Muda (MADA) Wilayah 1 kepada para peserta projek pemulihan kolam ikan tilapia kelompok di Kampung Padang Keria, Sanglang dekat sini hari ini.

See also  Malaysians overwhelmingly support end to single-use plastics

Turut hadir Pengarah Perikanan Perlis, Sukri Deris dan Pengurus MADA Wilayah 1, Roslan Abdul Ghani Ahmad.

Keseluruhan pengusaha ternakan ikan dalam kolam di Perlis adalah 215 orang membabitkan 1,050 buah kolam dengan keluasan keseluruhannya 70 hektar.

Sabry berkata sektor akuakultur di Perlis memberi pendapatan kira-kira RM7 juta setahun tetapi bencana banjir yang melanda baru-baru ini menyebabkan pengeluaran hasil terjejas teruk.

Di bawah program Bumi Hijau tahun ini, kerajaan membelanjakan RM81,900

untuk bantuan benih dan makanan ikan kepada 250 orang penternak membabitkan penyediaan 500 buah tangki ternakan ikan, 150,000 benih ikan dan 741 kampit makanan ikan.

Katanya sebanyak RM20,000 diperuntukan bagi membaik pulih projek ternakan ikan berkelompok di Kampung Padang Keria, yang terhenti pada 1990 berikutan tempoh pemberian subsidi berakhir.

See also  Coway and EcoKnights join forces for a greener future

Bagi memulakan projek itu, sejumlah 35,000 ekor anak ikan tilapia serta 155 kampit makanan ikan kepada para peserta projek itu, yang dijangka menghasilkan 15 tan metrik ikan bernilai RM80,000 dalam tempoh enam bulan.

-Bernama