Tanah jerlus ancam 50 penghuni

Tanah jerlus ancam 50 penghuni

Mereka khuatir tembok penahan dan jalan berturap tar yang runtuh sedalam hampir 1.5 meter pada keluasan semeter lebar serta panjangnya hampir 70 meter akan terus jerlus dan runtuh bersama-sama bahagian dapur rumah mereka pada bila-bila masa jika tiada penyelenggaraan dilakukan segera.

Kira-kira 50 penghuni 10 buah rumah sederet di Taman Kenangan, Sungai Karangan dekat sini bimbang dengan keselamatan mereka   berikutan sebahagian besar jalan dan tembok penahan di belakang rumah mereka jerlus selepas hujan lebat awal pagi Ahad.

Mereka khuatir tembok penahan dan jalan berturap tar yang runtuh sedalam hampir 1.5 meter pada keluasan semeter lebar serta panjangnya hampir 70 meter akan terus jerlus dan runtuh bersama-sama bahagian dapur rumah mereka pada bila-bila masa jika tiada penyelenggaraan dilakukan segera.

Seorang penduduk yang dapur rumahnya terlibat Rokiah Ahmad, 55, berkata dia hanya menyedari kejadian itu setelah membuka pintu dapurnya pada pagi Ahad lalu dan mendapati jalan telah merekah dan bahagian bawahnya roboh.

“Saya dah pesan kepada anak-anak saya supaya jangan lagi keluar menggunakan pintu dapur takut tanah di bahagian tersebut runtuh… kelak membahayakan diri,” kata Rokiah, yang menetap di situ sejak 1993.

Katanya terdapat beberapa pekerja Majlis Perbandaran Kulim (MPKK) yang datang meninjau kawasan kejadian tetapi mereka sekadar memasang pita sempadan tidak membenarkan orang ramai menghampiri kawasan berkenaan.

Tinjauan Bernama ke kawasan terbabit mendapati selain kesan tanah runtuh,  satu rekahan lubang berukuran 30 cm lebar dan tiga meter panjang wujud pada bahagian tengah jalan antara tebing yang runtuh dengan bahagian longkang berkembar dengan bangunan rumah-rumah berkenaan.

Pengerusi Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung Persekutuan (JKKKP) Sungai Karangan, Md Zain Saud, 74, berkata sebaik kejadian pihaknya memaklumkan kepada MPKK tetapi sehingga ini tindakan yang diambil hanya sekadar memasang pita amaran di situ.

Sementara itu, Jurutera MPKK Ramli Md Noor berkata pihaknya akan menjalankan kerja-kerja menanam cerucuk kayu bakau dalam usaha mengukuhkan asas tembok penahan yang runtuh itu dalam waktu terdekat.

“Ini merupakan kerja-kerja permulaan. Akan dikaji semula kedudukan tembok penahan ini, yang jika perlu diperkemaskan lagi dengan mendapat peruntukan daripada Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan dan dibina dengan lebih lengkap dan sempurna,” katanya ketika dihubungi.

-Bernama