Dua calon SPM di Johor meninggal dunia

Dua calon SPM di Johor meninggal dunia

Dua calon meninggal dunia akibat penyakit jantung dan panyakit buah pinggang

Seorang calon peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) meninggal dunia selepas mengadu sesak nafas ketika sesi taklimat sejurus sebelum mula menduduki peperiksaan itu di Sekolah Menengah Kebangsaan Ledang, dekat Ledang di Muar, hari ini.

Seorang lagi calon SPM di Kluang meninggal dunia semalam akibat penyakit buah pinggang.

Pengarah Pelajaran Johor Markom Giran berkata pelajar SMK Ledang, Hazizul Hasah, 17, telah mengadu sukar bernafas kepada pengawas peperiksaan sebelum dibawa keluar dari dewan peperiksaan dan ditempatkan di bilik rehat.

“Pihak pentadbiran sekolah menghubungi ambulans, bagaimanapun, pelajar lelaki itu disahkan sudah meninggal dunia selepas 10 minit pegawai perubatan tiba di sekolah berkenaan,” katanya kepada pemberita selepas melawat calon SPM Sekolah Menengah Pendidikan Khas Vokasional Indahpura di sini hari ini.

Peperiksaan SPM dan Sijil Tinggi Pelajaran Malaysia bermula hari ini.

Markom berkata Hazizul dipercayai menghidap penyakit jantung.

Sambil melahirkan rasa sedih dengan kejadian itu, beliau mengucapkan takziah kepada keluarga Hazizul.

Di Kluang, seorang lagi calon SPM meninggal dunia pada 4 petang semalam akibat penyakit buah pinggang.

Mohd Fazli Yusop, 17, pelajar Sekolah Menengah Kebangsaan Belitong, dekat Kluang, meninggal dunia selepas mendapat rawatan dialisis di Hospital Sultanah Aminah di Johor Baharu.

Markom berkata seramai 56,203 calon SPM dari 243 sekolah di Johor menduduki SPM kali ini.

-Bernama