Dua mati dirempuh kenderaan dalam kejadian berlainan

Dua mati dirempuh kenderaan dalam kejadian berlainan

Penunggang motosikal dan penunggang basikal terbunuh dirempuh kenderaan.

Seorang penunggang motosikal terbunuh apabila dirempuh dua kenderaan selepas terjatuh dari motosikalnya di km 286 Lebuh Raya Utara-Selatan dekat sini malam tadi.

Ketua Polis Trafik Negeri Supt Wan Abdullah Ishak berkata dalam kejadian pada 8.42 malam itu, Jamaluddin Mohd Ali, 63 berasal dari sini, meninggal dunia di tempat kejadian akibat cedera parah di kepala dan badan.

Katanya Jamaluddin dipercayai terbabas dan terjatuh sebelum dirempuh dua kenderaan.

Dalam kejadian lain di Kampar, seorang penunggang basikal terbunuh selepas dirempuh oleh sebuah kereta ketika hendak melintas jalan di Km 51 Jalan Ipoh-Teluk Intan malam tadi.

Wan Abdullah berkata dalam kejadian pada 9.30 malam tadi, Chin Yoot Yoon, 60 berasal dari Taman Elok, Ayer Kuning, Kampar, meninggal dunia setengah jam selepas dimasukkan ke Hospital Kampar.

-Bernama