‘Geng Lawi Ayam’ ditumpaskan

‘Geng Lawi Ayam’ ditumpaskan

Polis Kelantan menumpaskan “Geng Lawi Ayam” apabila menahan ketua kumpulan bersama isteri dan adiknya serta seorang lagi yang aktif menyamun dan pecah rumah di sekitar daerah Tumpat dan Kota Baharu sejak 10 bulan lepas.

Polis Kelantan menumpaskan “Geng Lawi Ayam” apabila menahan ketua kumpulan bersama isteri dan adiknya serta seorang lagi yang aktif menyamun dan pecah rumah di sekitar daerah Tumpat dan Kota Baharu sejak 10 bulan lepas.

Pemangku Timbalan Ketua Polis Kelantan ACP Mazlan Lazim berkata dengan tertangkapnya kesemua ahli kumpulan itu, yang berumur antara 20 dan 29 tahun, polis menyelesaikan sekurang-kurang 74 kes samun dan curi, termasuk kes pecah rumah yang terbaru pada 14 Nov lepas.

Katanya serbuan pertama dijalankan apabila polis mendapat maklumat mengenai seorang daripada penjenayah itu berusia 21 tahun dan menahannya di sebuah rumah di Kampung Laut, Palekbang, di sini minggu lepas.

Hasil soal siasat, polis menahan dua lagi ahli kumpulan itu iaitu adik dan isteri ketua kumpulan berkenaan.

“Berikutan penahanan tiga orang itu polis berjaya menahan ketua kumpulan itu yang berusia 25 tahun di sebuah rumah di Kampung Semut Api, Kota Baharu,” kata Mazlan.

Polis menemui dan merampas barangan curi termasuk 11 utas gelang emas, lapan utas rantai leher, sembilan gelang tangan, dua anting-anting, kerongsang, 20 bentuk cincin, 20 biji batu  permata, 13 jam tangan dan 20 telefon bimbit, beberapa komponen motosikal, 12 keping wang siling kenangan, barangan elektrik,komputer riba dan televisyen, yang kesemuanya bernilai RM70,000.

“Polis turut menemui pelbagai jenis senjata berbahaya termasuk parang, pedang, sabit, kapak dan lawi ayam selain walkie talkie,” kata Mazlan.

Polis juga telah mengambil keterangan daripada dua orang yang membeli barang-barang curi daripada kumpulan itu, katanya.

– Bernama