Enam ditahan menyeludup syabu

Enam ditahan menyeludup syabu

Beliau berkata pemeriksaan ke atas beg yang dibawa wanita itu membawa kepada penemuan satu bungkusan berisi dadah disyaki Syabu, seberat kira-kira 3,250 gram.

Dua wanita Zimbabwe merupakan antara enam warga asing yang ditahan polis dalam beberapa cubaan menyeludup 11.4 kilogram dadah jenis syabu bernilai kira-kira RM2.8 juta di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) Sepang secara berasingan, antara 16 Nov dan semalam.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik Selangor ACP Nordin Kadir berkata kira-kira 10.30 pagi semalam, polis menahan seorang wanita berumur 36 tahun yang baru tiba di KLIA dari Doha.

Beliau berkata pemeriksaan ke atas beg yang dibawa wanita itu membawa kepada penemuan satu bungkusan berisi dadah disyaki Syabu, seberat kira-kira 3,250 gram.

“Turut dirampas daripada wanita terbabit ialah wang tunai USD992, dan siasatan mendapati wanita itu dijangka pulang ke negara asalnya pada 25 Nov ini,” katanya pada sidang akhbar di Ibu Pejabat Polis Kontinjen Selangor hari ini.

Sementara itu, dalam kes berasingan, seorang lagi wanita berusia 28 tahun ditahan kira-kira 4.20 petang hari yang sama selepas menemui tiga silinder penapis minyak jengkaut berisi tiga silinder kecil mengandungi dadah disyaki syabu seberat 3,850 gram, di dalam begnya.

Nordin berkata polis turut menahan seorang lelaki warga Iran berusia 24 tahun kira-kira 11 pagi pada 16 Nov selepas menemui tiga bungkusan mengandungi  span plastik berisi Syabu seberat 1,015 gram, dalam beg sandangnya.

“Turut dirampas daripada suspek ialah wang tunai USD812. Siasatan awal mendapati suspek pertama kali masuk ke negara ini melalui penerbangan dari Bahrain, dan dia dijangka pulang ke negara asal semalam,” katanya.

Beliau berkata pada hari yang sama, seorang lagi lelaki warga Iran berusia 24 tahun ditahan selepas mendapati beg komputer riba yang dibawanya telah diubahsuai dengan bahagian tepi dipotong serta dimasukkan span berisi dadah jenis Syabu seberat kira-kira 1,100 gram.

Katanya, wang tunai sebanyak USD764 turut dirampas daripada lelaki itu dan polis tidak menolak kemungkinan kedua-dua warga Iran tersebut adalah dari sindiket yang sama.

Dalam kes lain, Nordin berkata seorang lelaki warga Nigeria yang tiba dari Dubai, telah ditahan kira-kira 4.30 petang semalam selepas didapati cuba menyeludup masuk dadah jenis Syabu seberat 1,500 gram di dalam komponen eskalator berbentuk roda.

“Siasatan awal juga mendapati suspek mendakwa dia berniaga di Nigeria dan telah diupah sebanyak USD4,000 untuk membawa masuk dadah ke Malaysia. Turut dirampas daripada suspek ialah wang tunai USD130,” katanya.

Nordin berkata keenam-enam suspek kini ditahan reman sehingga 24 dan 25 Nov bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952.

“Pihak kami mendapati sindiket menyeludup dadah masuk ke negara ini kini berubah taktik, iaitu antaranya, mereka membawa masuk dadah sedikit demi sedikit dalam jumlah yang kecil, bagi mengelakkan dapat dikesan di mesin pengimbas.

“Semua dadah ini berjaya melepasi mesin pengimbas, kerana melalui skrin, hanya nampak gelap sahaja. Selepas kita buat pemeriksaan secara manual, barulah kita menemui kesemua dadah itu,” katanya.

-Bernama