Empat samun restoran, dua ditahan

Empat samun restoran, dua ditahan

Polis menahan dua daripada empat lelaki selepas mereka menyamun sebuah restoran di Taman Pertama di sini awal pagi ini, dengan bersenjatakan parang.

Polis menahan dua daripada empat lelaki selepas mereka menyamun sebuah restoran di Taman Pertama di sini awal pagi ini, dengan bersenjatakan parang.

Ketua Polis Daerah Ipoh ACP Azisman Alias berkata lelaki berusia 29 dan 32 tahun itu ditahan di Taman Mas, Falim.

Beliau berkata dalam kejadian 5.30 pagi itu, empat lelaki yang memakai topi keledar serta bertopeng telah menyamun wang tunai RM270, enam telefon bimbit, kad ATM dan kad kredit milik pengusaha restoran dan seorang pelanggan.

Pengusaha restoran berusia 34 tahun itu turut cedera di dahi selepas bergelut dengan suspek, dan dirawat sebagai pesakit luar di Hospital Raja Permaisuri Bainun, katanya pada satu sidang akhbar hari ini.

Azisman berkata berdasarkan maklumat keluarga mangsa, polis berjaya mengesan keempat-empat lelaki yang melarikan diri dengan sebuah kereta Proton Iswara di Falim, 12 kilometer dari tempat kejadian.

Beliau berkata kereta yang dipandu suspek telah melanggar empat kenderaan awam dan terpaksa berhenti selepas dikepung lima kereta peronda polis.

Katanya, kesemua suspek yang bersenjatakan parang kemudian keluar dari kereta itu dan menyerang serta bergelut dengan beberapa anggota polis.

Azisman berkata seorang anggota polis kemudian melepaskan satu tembakan yang terkena seorang suspek, menyebabkan dua daripadanya berjaya ditahan manakala dua lagi, termasuk yang cedera melarikan diri.

Sehubungan itu, beliau meminta kerjasama klinik atau hospital yang didatangi lelaki bagi mendapatkan rawatan akibat terkena tembakan, supaya menghubungi Ibu Pejabat Polis Daerah Ipoh di talian 05-2451500.

Katanya, kedua-dua suspek itu ditahan reman mula hari ini dan siasatan awal mendapati mereka mempunyai rekod kesalahan lampau, selain bergerak aktif melakukan kegiatan samun di bandar raya ini.

Polis turut menemui empat bilah parang, dua penukul besi, dua pasang sarung tangan dan topeng, jaket, dua topi keledar, alat pengumpil besi serta barangan yang disamun termasuk wang tunai, kad kredit, kad ATM, kad pengenalan, telefon bimbit dan dompet.

-Bernama