Penjual ikan dihukum mati kerana membunuh peniaga runcit

Mahkamah Tinggi di sini hari ini menjatuhkan hukuman gantung sampai mati ke atas seorang penjual ikan kerana membunuh seorang peniaga runcit dalam satu kejadian samun, dua tahun lepas.

Hakim Datuk Abdul Halim Aman membuat keputusan itu selepas mendapati pembelaan Roslan Hussin, 43, gagal menimbulkan keraguan munasabah terhadap kes pendakwaan.

Roslan dituduh membunuh Jasmi Hamid, 50, di Jalan Mini Tar, Kampung Air Hitam pada 8.45 malam, 23 Mac 2008 mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman mati mandatori, jika sabit kesalahan.

Dia kelihatan sugul selepas mendengar keputusan itu dan sempat bertemu beberapa anggota keluarganya sebelum dibawa keluar dari  mahkamah.

Dalam penghakimannya, Abdul Halim berkata walaupun tertuduh memiliki sikap kemasyarakatan yang positif namun nafsu dan nalurinya sendiri telah menyebabkan dia melakukan jenayah sehingga mengakibatkan kematian.

“Pelaku jenayah tidak mengenal mangsa, jauh sekali untuk membezakannya, (dalam kes ini) tertuduh sanggup membunuh mangsa semata-mata untuk menyamun wang tunai RM9,000 walaupun tertuduh amat mengenali mangsa, dan ada pertalian saudara,” katanya.

Selain itu, Abdul Halim berkata pembelaan Roslan yang dibuat dari kandang tertuduh, lebih merupakan penafian dan ia juga tidak lengkap dari segi  perundangan.

“Pembelaan seperti ini penuh dengan kecurigaan, keterangan tersebut juga kosong tanpa disokong oleh bukti-bukti, dan sekaligus gagal menyanggah keterangan pendakwaan,” kata beliau.

Roslan diwakili peguam Simon Murali manakala pendakwaan dijalankan oleh Timbalan Pendakwa Raya Arik Zakri Abdul Kadir.

-Bernama