Derma RM 18,000 disasar untuk kanak-kanak autistik

Program “World Children’s Day and Chefs Cook for Charity Day 2010” anjuran Persatuan Kebangsaan Autism Malaysia (Nasom) Sabtu ini disasar untuk mengutip derma RM18,000 bagi membiayai pelbagai aktiviti persatuan berkenaan.

Exco Belia dan Sukan, Pembangunan Wanita, Keluarga dan Komuniti Pulau Pinang, Lydia Ong Kok Fooi berkata ia merupakan kali ketiga program itu dianjur dengan kerjasama Majlis Sukan Negeri (MSN) dan Kelab Lumba Kuda Pulau Pinang bagi mengutip dana untuk disumbangkan kepada Nasom.

“Kami anggar 2,000 orang akan menghadiri program itu di samping menghulur derma melalui pembelian kupon, dan kami berharap akan dapat capai sasaran, bagi menampung pembelian peralatan yang diperlukan Nasom,” katanya kepada pemberita di sini hari ini.

Nasom memerlukan kira-kira RM60,000 setahun untuk menampung perbelanjaan mengurus keperluan 38 kanak-kanak yang menghidapi autistik di samping keperluan lapan tenaga pengajar.

– Bernama

Optimization WordPress Plugins & Solutions by W3 EDGE