600 kilang kayu beroperasi tanpa lesen

600 kilang kayu beroperasi tanpa lesen

Hampir 600 buah kilang Industri Berasaskan Kayu (IBK) di Selangor didapati beroperasi tanpa lesen kebanyakannya di tanah berstatus pertanian.

Hampir 600 buah kilang Industri Berasaskan Kayu (IBK) di Selangor didapati beroperasi tanpa lesen kebanyakannya di tanah berstatus pertanian.

Penolong Pengarah Operasi dan Penguatkuasaan Jabatan Perhutanan Negeri Selangor Mohd Yussainy Md Yusop berkata hanya 263 kilang IBK di negeri itu  mempunyai lesen untuk beroperasi secara sah.

Beliau berkata jabatan itu berusaha untuk terus mengesan kilang-kilang haram yang wujud di Selangor, antaranya dengan membuat operasi bersepadu bersama agensi-agensi penguatkuasa lain seperti Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia dan Ikatan Relawan Rakyat Malaysia (RELA).

Katanya 15 kilang haram telahpun dikenakan kompaun berjumlah RM200,000 manakala dua lagi telah dihadapkan ke mahkamah dan selebihnya diberi amaran serta diarah mendapatkan lesen yang sah daripada pihak berkuasa negeri.

Mohd Yussainy berkata kebanyakan kilang haram itu didirikan di tanah berstatus pertanian sedangkan syarat pelesenan memerlukan kilang bertapak di tanah berstatus industri.

“Tanah berstatus industri adalah mahal di Selangor jadi mereka mengambil jalan mudah dengan mendirikan kilang-kilang mereka di hutan atau, dengan kata lain tanah berstatus pertanian, untuk menjimatkan kos mereka,” katanya.

Mohd Yussainy berkata walaupun kilang-kilang itu didapati tidak mempunyai lesen, namun 99 peratus kayu yang terdapat dalam industri berkenaan di Selangor diperoleh secara sah.

“Pihak kilang telah membayar cukai kepada pihak berkuasa negeri dan sumber di mana kayu tersebut diperoleh diketahui. Hanya kurang satu peratus kayu haram yang terdapat dalam industri di Selangor yang tidak dibayar cukai,” katanya.

Selangor merupakan antara tiga negeri pengeluar terbesar dalam IBK di Negara ini.

Mohd Yussainy berkata Enakmen Industri Berasaskan Kayu 1985 (Pindaan 2010) telah diluluskan oleh Dewan Undangan Negeri Selangor dan ianya diharap dapat memberikan implikasi yang baik kepada IBK.

Menurutnya hampir 90 peratus isi kandungan undang-undang itu telahpun diubah menjadi lebih ketat.

“Ini dapat memberi pengajaran kepada pemain industri supaya lebih serius  mematuhi undang-undang berdasarkan kadar denda tinggi lebih tinggi yang telah

diluluskan,” kata Mohd Yussainy.

Misalnya, denda yang dikenakan untuk kesalahan mendiri dan mengendali satu industri berasaskan kayu tanpa kelulusan pihak berkuasa dinaikkan daripada maksimum RM2,000 kepada RM50,000.

Dalam operasi terbaru semalam terhadap lima kilang papan yang dilakukan bersama RELA dan SPRM di Semenyih, dua kilang didapati menjalankan operasi mereka tanpa lesen yang sah.