KPDNKK Kesal Tindakan Peniaga Naik Harga Barang Semasa Banjir

Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan (KPDNKK) kesal dengan tindakan peniaga menaikkan harga barang keperluan semasa banjir melanda Kedah baru-baru ini.

Timbalan Menteri berkenaan Datuk Tan Lian Hoe berkata tindakan segelintir peniaga yang mengambil kesempatan untuk mengaut keuntungan berganda tidak sepatutnya berlaku dalam keadaan rakyat di negeri ini sedang menghadapi kesusahan.

“Sepatutnya mereka (peniaga) turut membantu kerajaan dalam menyalurkan bantuan bagi meringankan beban mangsa-mangsa banjir, tetapi sebaliknya berlaku apabila mereka sesuka hati menaikan harga barangan keperluan bagi mangsa banjir.

“Bukan tak boleh nak kaut keuntungan tapi dalam suasana rakyat sedang menghadapi kesusahan mereka seharusnya lebih prihatin dengan nasib yang menimpa mangsa banjir di dua negeri iaitu Kedah dan Perlis dengan membantu dan bukannya kaut keuntungan,” katanya.

Beliau berkata demikan kepada pemberita selepas menyampaikan sumbangan Aidiladha kepada 150 keluarga mangsa banjir di Kampung Gonchar, Gunung Keriang dan Kampung Seberang Tambang Badak di Kampung Gonchar dekat sini semalam.

KPDNKK, sebelum ini ada menerima beberapa aduan daripada orang ramai mengenai sikap peniaga yang mengambil kesempatan menaikkan harga barang keperluan seperti lilin dan air mineral.

Sementara itu , Tan berkata KPDNKK akan mewujudkan tabung bencana alam bagi membolehkan bantuan segera diberikan untuk meringankan beban yang dihadapi mangsa bencana alam seperti banjir.

– Bernama