S’gor anjur dua program komuniti serentak Sabtu ini

Kerajaan Selangor akan melaksanakan program Jelajah Jom Kerja dan Generasi Idaman Selangor (GeMS) serentak di Hulu Langat pada sabtu ini.

Ia susulan program melibatkan seluruh daerah Hulu Langat di mana sesi pelepasan peserta program telah disempurnakan exco kerajaan Selangor, Dr Halimah Ali  pada 7 November lalu.

Pengerusi jawatankuasa tetap pendidikan, pendidikan tinggi dan pembangunan modal insan negeri, Dr Halimah Ali berkata, tujuan program Jelajah Jom Kerja ini diadakan adalah sebagai hebahan kepada masyarakat setempat.

Menurutnya, antara pengisian utama adalah sesi temuduga terbuka bagi mengisi kekosongan jawatan dari peringkat Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) sehingga ke peringkat Ijazah akan diadakan bermula jam 9.00 pagi hingga 4.30 petang bertempat di Kompleks Penghulu Padang Awam Pekan Batu 14, Hulu Langat.

Menerusi penganjuran ini, dapat memberi peluang kerjaya kepada masyarakat tempatan, selain itu dapat membantu syarikat – syarikat yang memerlukan pekerja khususnya ditahap kritikal dengan mendahulukan penglibatan di kalangan warga tempatan, tambahnya.

“Program GeMS akan membuka topik bicara remaja sembang santai manakala majlis dialog pula melibatkan ketua kampung, ketua agama, ketua belia dan ahli NGO,” katanya menerusi kenyataan akhbar dikeluarkan sekretariat kerajaan negeri.

Halimah berkata, pelbagai program dijangka akan menarik lebih ramai penglibatan golongan muda dan masyarakat setempat antaranya program jelajah ilmuwan untuk mendekatkan dengan pelajar serta berkongsi pengalaman kejayaan mereka kepada masyarakat.

Menurutnya, penekanan diberikan khususnya kepada golongan remaja supaya dapat menjadi pendorong dan semangat kepada para pelajar dan ahli masyarakat yang hadir untuk berjaya di dalam kehidupan.

“Selain itu, pertandingan mewarna melibatkan kanak – kanak di kawasan setempat akan turut diadakan.

“Dengan terlaksananya program ini dapat merealisasikan hasrat dan inspirasi kerajaan negeri untuk melahirkan generasi yang berkualiti,” ujarnya.