Aduan kekotoran premis makanan boleh dibuat scara SMS

Warga Kuala Lumpur kini boleh melaporkan mengenai kekotoran premis makanan yang dikunjungi melalui Khidmat Pesanan Ringkas (SMS) yang diperkenalkan Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL).

Datuk Bandar Kuala Lumpur Datuk Seri Ahmad Fuad Ismail berkata premis yang terbukti kotor hasil aduan SMS tersebut serta dikesan mempunyai “rekod lampau” bagi kesalahan yang sama boleh dikenakan tindakan termasuk menyita premis berkenaan atau mengheret pemilik ke mahkamah.

Orang ramai yang ingin membuat sebarang aduan boleh menghantar SMS dengan menaip DBKL jarak ADUPREMIS jarak MESEJ dan hantar ke 15888 (DAPAT) atau menghubungi talian bebas tol di 1-800-88-3355.

Setiap aduan SMS yang diterima akan disiasat oleh pegawai penyiasat dari Jabatan Kesihatan DBKL, katanya kepada pemberita selepas majlis pelancaran sistem aduan SMS itu oleh Menteri Wilayah Persekutuan dan Kesejahteraan Bandar Datuk Raja Nong Chik Raja Zainal Abidin, pada hari Khamis.

Pada majlis itu, Raja Nong Chik turut menyampaikan hadiah kepada pemenang pertandingan kebersihan kepada Shell MDS(M) Sdn Bhd yang memenangi kategori stesen minyak manakala Restoran Ikan Sungai, Desa Melawati bagi kategori restoran dan kedai.

Mengulas sistem SMS aduan itu, Raja Nong Chik ketika memuji inisiatif DBKL itu berharap agensi tersebut dapat mempertingkatkan lagi perkhidmatannya.

Beliau turut menggesa pengusaha premis makanan di sekitar kawasan bandar raya ini dapat mencontohi kebersihan di negara-negara lain seperti Singapura.

— BERNAMA