Waspada Sindiket Culik Palsu, Kata Polis

Orang ramai diingatkan supaya berwaspada dengan sindiket penculikan palsu yang semakin aktif di daerah Sentul baru-baru ini sehingga mengaut keuntungan lebih RM100,000.

Ketua Polis Daerah Sentul ACP Zakaria Pagan berkata sejak bulan lepas, lima kes dilaporkan berlaku yang menyasarkan golongan suri rumah berusia 50-an dengan jumlah wang tertinggi diserahkan mencecah RM30,000 bagi satu kes.

“Modus operandi mereka adalah menelefon mangsa menggunakan nombor telefon pelik dan tidak dikenali mangsa, lalu mendakwa ahli keluarga mangsa kini diculik sindiket itu.

“Suspek akan mengugut mangsa supaya jangan meletakkan telefon sehingga arahan membawa sejumlah wang ke satu tempat dipatuhi atau ahli keluarga mereka akan dicederakan,” katanya kepada pemberita selepas menyerahkan 30 buah motosikal kepada anggota polis dari unit ‘First Response Team’ (FRM) di sini Jumaat.

Zakaria berkata mangsa kemudian akan pulang ke rumah dan mendapati anggota keluarga mereka selamat dan tidak diculik seperti yang didakwa suspek.

“Mangsa yang mengesyaki dirinya ditipu kemudian akan membuat laporan polis. Di sini saya ingin menasihatkan orang ramai khasnya suri rumah supaya jangan sesekali terpedaya dengan sindiket ini,” katanya.

Difahamkan syarikat telekomunikasi sukar mengesan nombor telefon yang digunakan suspek dan ini menyukarkan polis mengesan lokasi serta identiti suspek.

Menurutnya sehingga kini, terdapat lima kes seumpamanya, iaitu empat kes yang dilaporkan di Kepong dan satu kes di Jinjang dengan jumlah kerugian keseluruhan melebihi RM100,000.

Katanya dalam kes terbaru, seorang suri rumah berumur 55 tahun kerugian RM5,000 hasil penipuan sindiket itu yang mendakwa anak lelakinya yang berumur 30-an dipukul dan diculik sindiket berkenaan.

Zakaria berkata dalam kejadian pukul 2 petang dua hari lepas, mangsa dari Kepong Baru menerima panggilan daripada nombor yang tidak dikenali dan kemudian diarah supaya meletakkan wang di tempat pembuangan sampah di sebuah restoran di Kepong.

Beliau berkata mangsa seterusnnya pulang ke rumah dan mendapati anak lelakinya tidak diculik lalu membuat laporan polis.

Zakaria berkata kes disiasat mengikut Seksyen 384 (Pemerasan) Kanun Keseksaan.

Terdahulu di majlis itu, beliau berkata unit FRM diharap dapat membantu mengurangkan kadar jenayah di Kepong sehingga 15 peratus berbanding 13 peratus ketika ini.

Katanya unit itu akan bertindak dengan memberi bantuan segera dan pantas dalam mana-mana kes sebelum pengawai penyiasat tiba di lokasi kejadian.

Beliau berkata unit itu juga menggunakan konsep ‘Stop and Talk’ bagi membantu orang ramai membuat laporan polis dengan cepat dan akan berkawal sepanjang 24 jam di kawasan tumpuan utama.

— BERNAMA

Optimization WordPress Plugins & Solutions by W3 EDGE