Sekolah dinasihat cepat bina tadika di bekas tapak stor

Sekolah dinasihat cepat bina tadika di bekas tapak stor

Yang Dipertua MPSJ berkata, sekolah menerima peruntukan daripada jabatan pelajaran negeri sebanyak RM500,000 untuk pembinaan tadika di lokasi itu.

Yang Dipertua Majlis Perbandaran Subang Jaya (MPSJ) Datuk Adnan Md Ikhsan mempertahankan tindakan kakitangan agensi penguatkuasaan itu merobohkan stor yang dibina atas sempadan tapak Sekolah Jenis Kebangsaan (Tamil) Castlefield, Puchong pada Isnin lalu.

Menurutnya, selepas menerima aduan dan selesai siasatan, didapati struktur tanpa izin tersebut adalah milik kuil dan pembinaan telah memasuki sebahagian kawasan sekolah.

“Untuk makluman, pihak sekolah telah bersetuju untuk membenarkan pembinaan kuil tersebut secara sementara dan jawatankuasa kuil juga bersetuju mengembalikan tanah yang digunakan itu sekiranya pihak sekolah memerlukannya untuk sebarang pembinaan,” katanya.

Adnan berkata, pihak sekolah telah menerima peruntukan daripada jabatan pelajaran negeri Selangor sebanyak RM500,000 untuk pembinaan sebuah tadika di lokasi itu.

Menurutnya, pihak sekolah juga dinasihati untuk mempercepatkan pembinaan bangunan tadika bagi mengelakkan peruntukan itu ditarik semula.

“Susulan daripada itu, MPSJ telah mengambil tindakan perobohan pada 8 November setelah notis pemberitahuan bangunan di bawah Seksyen 72 Akta Jalan, Parit dan Bangunan 1974 tempoh selama tujuh hari yang dikeluarkan pada 26 Oktober tamat,” ujarnya.

Adnan berkata bagaimanapun tiga binaan tanpa izin seperti stor penyimpanan barangan, tandas dan tangki air telah ditangguhkan perobohan bagi membincangkan lokasi penempatan semula sementara.

See also  Ridge View @ Puchong: Luxury villas amid nature in Puchong

Menurutnya, hasil perbincangan antara pihak sekolah dan kuil bersama pihak berkuasa tempatan (PBT) itu, mesyuarat telah bersetuju membenarkan kontraktor sekolah menyediakan bangunan stor dan tandas sementara bagi tempoh tidak melebihi setahun di atas sebahagian tapak rezab yang disediakan.

“Pemilik kuil di minta supaya memindahkan semua barangan ke dalam stor baru sebaik sahaja bangunan tersebut siap dibina oleh kontraktor sekolah tersebut,” katanya.

Perang mulut sambut lawatan exco

Lawatan exco kerajaan negeri Teresa Kok ke kuil Sri Srinivasa Perumal di Puchong – tempat seorang lelaki bertindak nekad membakar dirinya Isnin lalu – disambut kegamatan perang mulut berhubung ‘perebutan’ kawasan itu.

Tinjauan Komunitikini pagi tadi mendapati pertengkatan itu berlaku antara pengerusi pengelola Sekolah Jenis Kebangsaan (Tamil) Castlefield, Puchong PM Nagamuthu dengan seorang individu berbangsa India yang tidak dikenali.

Difahamkan, pertengkaran itu ekoran lelaki terbabit mahu mempertahankan tiga bahagian kuil – iaitu stor makanan, tandas dan tangki air – di Pusat Bandar Puchong itu daripada dirobohkan untuk diserahkan bawah pentadbiran sekolah.

Kuil dan sekolah terbabit hanya terletak bersebelahan antara satu sama lain.

Bagaimanapun, hingar-bingar selama 10 minit itu berakhir tanpa sebarang kejadian yang tidak diingini.

See also  Ridge View @ Puchong: Luxury villas amid nature in Puchong

Walaupun tindakan itu dilihat cuba mendapatkan perhatian Teresa sebagai exco kanan Selangor, tetapi ADUN DAP itu yang diiringi ahli parlimen Puchong Gobind Singh Deo, tidak mempedulikannya.

Isu perobohan sebahagian kuil tersebut menarik perhatian pelbagai pihak apabila gara-gara terlalu bimbang, seorang lelaki bertindak nekad dengan ‘membakar’ dirinya sendiri Isnin lalu.

Sementara itu, bercakap kepada pemberita, Teresa memaklumkan isu penempatan stor kuil telah selesai.
Beliau yang juga ahli parlimen Seputeh memaklumkan telah melawat mangsa insiden ‘membakar’ diri di Hospital Kuala Lumpur semalam dan berjanji akan membiayai kos perubatannya sebanyak RM 2,000.

Sementara itu, ahli parlimen Puchong Gobind Singh Deo menyifatkan insiden yang berlaku ke atas mangsa terbakar adalah tragedi sangat menyedihkan.
Katanya, beliau mengetahui perkara tersebut ketika berada di Parlimen Isnin lalu menerusi panggilan telefon daripada seorang ahli majlis MPSJ.

“Isu ini sangat sensitif dan sepatutnya perlu berbincang terlebih dahulu,” katanya ditemui pemberita semasa mengadakan lawatan ke kuil tersebut, pagi tadi.

Sementara itu, ahli parlimen Puchong Gobind Singh Deo menyifatkan insiden yang berlaku ke atas mangsa terbakar adalah tragedi sangat menyedihkan.