Cuaca di Kedah dan Perlis bertambah baik

Keadaan cuaca di Kedah dan Perlis bertambah baik walaupun hujan renyai-renyai dijangka dari semasa ke semasa dalam masa tiga hari lagi terutama di sebelah malam dan awal pagi.

Jabatan Meteorologi Malaysia berkata lebih banyak hujan dijangka pada Selasa namun keadaan itu tidak akan memburukkan keadaan banjir di negeri itu.

Jabatan itu juga mendapati hujan yang turun di Kedah pada minggu lepas adalah lebih lebat daripada yang berlaku pada 15 hingga 19 Dis 2005.

“Bagi daerah Alor Star, jumlah hujan untuk kali ini ialah 207 mm iaitu hampir dua kali ganda berbanding jumlah dicatat pada Disember 2005 iaitu 119 mm manakala daerah Kubang Pasu, Padang Terap dan Pendang mencatat jumlah antara 300mm hingga 530 mm.

“Jumlah hujan di Perlis ialah antara 260 mm hingga 360 mm dengan daerah Chuping menerima jumlah hujan 321 mm berbanding 471 mm pada Disember 2005,” kata kenyataan jabatan itu.

Sementara itu, angin kencang Timur Laut dengan kelajuan 40 hingga 50 kilometer sejam dan laut bergelora setinggi 3.5 meter di perairan Condore, Reef North dan Pulau Layang-Layang dijangka berterusan sehingga hari ini.

Keadaan angin kencang dan laut bergelora itu berbahaya kepada bot-bot kecil, rekreasi laut dan sukan laut.