Kraftangan jana pendapatan suri rumah

Kraftangan jana pendapatan suri rumah

Penganjuran program kraftangan diharap dapat membela nasib wanita terutamanya suri rumah tangga dan ibu tunggal yang perlu diberi perhatian.

Puteri UMNO Bahagian Petaling Jaya Selatan (PJS) terus bergiat aktif dalam menganjur program membela nasib wanita terutamanya suri rumah dan ibu tunggal yang perlu diberi perhatian.

Bagi tujuan tersebut, persatuan pergerakan tersebut menganjurkan Bengkel Kraftangan yang disertai oleh 30 peserta yang sebahagiannya ibu-ibu tunggal di sekitar Petaling Jaya Selatan diadakan baru-baru ini.

Penolong Setiausaha Pergerakan Puteri UMNO PJS, Azrina Jasme berkata, persatuan pergerakannya menganjurkan bengkel kraftangan tersebut bertujuan memberi idea kepada peserta yang kebanyakannya suri rumah tangga sepenuh masa dapat menambah sumber pendapatan sampingan di rumah.

Menurutnya, peserta program satu hari tersebut telah diberi tunjuk ajar oleh seorang tenaga pengajar kraftangan daripada Klang berkenaan gubahan kreftangan menggunakan bahan terbuang yang dihiasi dengan hiasan tambahan mengikut kreativiti peserta.

See also  Novartis Malaysia champions gender parity in STEM industries

“ Program bengkel kraftangan yang dianjurkan adalah antara program yang persatuan pergerakan jalankan antara lainnya seperti program teater bersama pelajar sekolah, kursus jenazah yang akan diadakan pada Disember ini dan beberapa pertandingan sukan yang akan dianjurkan.

“ Persatuan pergerakan juga aktif menjalankan program serta aktiviti kebajikan seperti membuat lawatan ke Rumah Orang-orang Tua yang terdapat di sekitar Petaling Jaya terutamanya bagi mengajak golongan belia khususnya berbakti kepada masyarakat,” katanya.

Selain itu, Azrina berkata kemahiran yang diperoleh peserta seperti program bengkel kraftangan ini diharapkan dapat diteruskan sehingga menjadi satu perniagaan secara tidak langsung para peserta terlibat dalam dunia keusahawanan bumiputera yang boleh diketengahkan di pasaran.

See also  WAO calls for action to end violence against women

“Langkah menambah bilangan usahawan bumiputera adalah penting bagi meningkatkan golongan usahawan perusahaan kecil dan sederhana (PKS) bumiputera yang dapat mengembangkan pasaran mereka sehingga ke luar negara,” tambahnya.

Jelasnya, daripada program bengkel kraftangan yang diadakan, sebahagian daripada peserta telah beberapa tempahan gubahan kreatif mengikut peredaran terkini walaupun menggunakan bahan terbuang dan hiasan sampingan yang tidak menampakkan ianya adalah daripada bahan tersebut.

“Ini menunjukkan bahawa sedikit sebanyak program itu berjaya mencapai matlamatnya di sebalik peruntukan yang terhad bagi mengendalikannya,” katanya.

Tambahnya, program-program yang dianjurkan adalah bagi mengisi masa lapang golongan belia lepasan sekolah terutamanya serta memberi khidmat kaunseling kepada mereka yang bermasalah yang akan dirujuk ke jabatan kaunseling untuk tindakan selanjutnya jika perlu.