1400 tong sampah baru untuk penduduk Tmn Medan

Salah satu inisiatif menaiktaraf  keceriaan seluruh kawasan perumahan Taman Medan bebas daripada isu sampah sarap dengan menggantikan tong sampah lama kepada baru, ujar Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Taman Medan, Haniza Talha.

Bagi merealisasikan hasrat itu, menurutnya, pihaknya telah memperuntukan sebanyak 1400 unit tong sampah beroda kepada penduduk sekitar Taman Medan bagi menganjurkan projek ceriakan kawasan melibatkan kerjasama Majlis Bandaraya Petaling Jaya (MBPJ).

Katanya lagi, pemberian tong sampah itu merupakan salah satu daripada program menceriakan kawasan yang telah diusahakan oleh pusat khidmat masyarakat Dewan Undangan Negeri (DUN) itu sejak Jun 2008 lalu.

Justeru itu, beliau turut difahamkan program yang kini memasuki tahun kedua sejak fasa keempat mula diperkenalkan itu telah memperuntukan pemberian sebanyak 340 unit tong sampah kepada penduduk setempat.

“Ia bagi menggantikan tong sampah lama yang telah digunakan sejak lebih sepuluh tahun lalu yang dibekalkan syarikat pengurusan sisa pepejal, syarikat Alam Flora Sdn Bhd.

“Dalam majlis ini, kita telah mengedarkan lebih 300 unit tong sampah manakala selebihnya akan diedarkan dalam tempoh terdekat,” katanya kepada pemberita di majlis penyampaian tong sampah beroda kepada penduduk Taman Medan, baru-baru ini.

Mengulas lanjut, beliau memberitahu, penduduk hanya dikenakan bayaran sebanyak RM50 sahaja bagi menukar tong sampah lama kepada baru.

Bbagi meringankan beban penduduk, tambahnya, pihaknya bersama Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) bersetuju membiayai sebahagian kos RM140 seunit pembelian tong sampah baru.

Haniza yang juga merangkap Timbalan Speaker DUN Selangor berkata, pihaknya menerima sambutan sangat menggalakkan daripada penduduk Taman Medan bersetuju untuk membayar kadar harga yang telah ditetapkan itu.

“Sebenarnya, penduduk sudah lama menanti untuk mendapatkan tong sampah baru ini, namun ada antara segelintir penduduk mengambil inisiatif membeli tong sampah sendiri,” ujarnya.

Dalam perkembangan lain, tambahnya, pihaknya akan mengadakan program operasi menangkap tikus dalam usaha membanteras wabak penyakit berjangkit  serta meningkatkan tahap kesihatan di kawasan itu.

Jelasnya lagi, apa yang menarik mengenai program tersebut, pihak majlis daerah tempatan akan memberikan ganjaran kepada individu yang berjaya menangkap makhluk perosak itu.

“Saya berpendapat sekiranya program kemasyarkatan melibatkan penduduk, pihak berwajib dan wakil rakyat diadakan dari semasa ke semasa.

“Kita percaya kawasan Taman Medan akan menjadi lebih bersih sekali gus menerapkan budaya hidup sihat di kalangan komuniti setempat,” ujar Haniza lagi.