Kilang perabot musnah dalam kebakaran kerugian lebih RM100,000

Kilang perabot musnah dalam kebakaran kerugian lebih RM100,000

“Saya terkilan apabila kilang perabot yang telah diusahakan hasil titik peluh selama 10 tahun musnah begitu sahaja dalam sekelip mata,” ujar Ahmad Zathul.

Beberapa buah kilang perabot di Kampung Kerdas, Gombak musnah dalam satu kebakaran dianggarkan kerugian mencecah lebih RM100,000 baru-baru ini.

Salah seorang pemilik kilang perabot, Ahmad Zathul berkata kebakaran itu berlaku sekitar jam 2.30 petang  semasa beliau tiada di tempat kejadian kerana bercuti pada hujung minggu lalu.

Menurutnya, apa yang menghairankan, sebelum ini belum pernah berlaku kebakaran sepanjang beliau mengendalikan perusahaan kilang perabot miliknya  yang kini  berusia genap 10 tahun itu.

” Sehingga kini, saya tidak mengetahui punca kebakaran sebenar dan tidak menyangkakan kebakaran ini boleh berlaku. Saya terkilan apabila kilang perabot yang telah diusahakan hasil titik peluh selama ini (10 tahun) musnah dan lenyap dalam sekelip mata,” katanya.

Mengulas lanjut, Ahmad turut mendapati beberapa buah perabot hiasan telah siap ditempah pelanggan turut musnah dalam kebakaran.

Justeru itu, beliau bercadang untuk bertemu dengan pelanggan bagi memperjelaskan perkara ini dan berharap mereka memahami masalah dihadapinya.

“Bagaimanapun, Saya bersyukur kerana tiada individu yang cedera dan terkorban dalam kebakaran tersebut,” ujarnya.

Bagi meringankan bebanan mangsa kebakaran, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Gombak Setia,Datuk Dr Hasan Ali telah mengadakan lawatan ke lokasi kejadian serta menyampaikan sumbangan.

Ditemui pemberita dalam kunjungan itu, beliau turut melahirkan perasan simpati kepada pemilik kilang tersebut.

“Saya berharap semua mangsa tabah menghadapi dugaan ini.Semoga sumbangan ini dapat membantu serta meringankan beban yang dihadapi,” ujar Exco hal ehwal agama Islam Selangor.

Sumber – Khaulah Azwar