Pemutar skru pula dicampak dari flat Sungai Pinang

Selepas kejadian membaling batu hingga menyebabkan seorang pemandu teksi terbunuh di flat perumahan awam di Sungai Pinang di sini Sabtu lalu, hari ini seorang peniaga kecil nyaris cedera terkena pemutar skru yang dicampak ke bawah dari flat berkenaan.

Pemutar skru itu mengenai cermin kereta Sharifah Mydin Kuppay, 27, sebaik sahaja beliau keluar dari keretanya.

“Saya menurunkan anak-anak abang saya berhampiran kawasan masuk flat apabila tiba-tiba satu benda jatuh dan mengenai cermin kereta saya,” katanya yang tinggal di flat tersebut sejak sembilan tahun lalu.

Selasa lalu, beliau turut melihat pasu bunga dicampak dari atas flat itu yang nyaris terkena seorang lelaki.

“Saya juga dengar cerita akuarium juga pernah dicampak turun,” katanya.

Anggota Majlis Perbandaran Perbandaran Pulau Pinang, Ong Ah Teong berkata satu mesyuarat diadakan pagi tadi dengan wakil persatuan penduduk.

“Kami mengambil keputusan untuk memasang enam buah kamera litar tertutup di flat ini bagi memantau keadaan.

“Selain itu notis arahan akan diedar bagi menggesa penghuni membersihkan koridor mereka daripada barangan tidak digunakan dalam tempoh dua minggu,” katanya.

– Bernama