Industri pelancongan akan meningkatkan pendapatan per kapita menjelang 2020

Industri pelancongan akan meningkatkan pendapatan per kapita menjelang 2020

Kuala Lumpur – NKEA Pelancongan mensasar untuk meningkatkan Pendapatan Negara Kasar (PNK) kepada RM103.6.

Aspirasi industri pelancongan dalam Bidang Ekonomi Utama Negara (NKEA) ialah untuk meningkatkan pendapatan per
kapita dan guna tenaga yang lebih tinggi menjelang 2020.

Menurut Laporan Program Transformasi Ekonomi (ETP), pertumbuhan Malaysia dalam pelancongan sebahagian besarnya bergantung pada pertumbuhan ketibaan pelancong berbanding pendapatan, dan jika corak itu berterusan negara perlu bergantung kepada ketibaan pelancong yang ramai.

“Melangkah ke hadapan, adalah lebih mampan bagi Malaysia untuk mengalihkan fokus kepada meningkatkan pendapatan atau penerimaan daripada setiap pelancong dan bukan hanya bergantung pada pertumbuhan dalam ketibaan pelancong.

“Untuk menarik segmen berpendapatan tinggi, kita perlu menambah baik, meningkatkan tawaran dan perkhidmatan pelancongan serta meningkatkan kesalinghubungan kepada pasaran yang diberi keutamaan,” kata laporan itu. NKEA Pelancongan mensasar untuk meningkatkan Pendapatan Negara Kasar (PNK) kepada RM103.6 bilion menjelang 2020 berbanding RM36.9 bilion pada 2009.

Dua belas projek permulaan (EPP) telah dikenalpasti yang merangkumi lima tema untuk meningkatkan pendapatan pelancongan negara, serta tiga peluang perniagaan bersama dengan pertumbuhan asas sektor. Lima tema EPP akan membantu memenuhi keperluan pelbagai segmen pelancongan iaitu dari penggemar membeli belah hinggalah kepada pencinta alam semula jadi, pengembara perniagaan dan percutian seisi keluarga.

See also  Langkawi International Airport receives prestigious ACI Award

Tiga peluang perniagaan yang diberi tumpuan ialah industri restoran, pengangkutan tempatan dan operator pelancongan. Peluang pelancongan untuk kedai dan restoran dijangka mewujudkan 9,600 pekerjaan dengan PNK meningkat kepada RM3.6 bilion menjelang 2020.

Sementara itu, sektor pengangkutan tempatan dijangka membuka 45,000 peluang pekerjaan yang akan menyumbang RM0.7 bilion kepada PNK menjelang 2020. Menurut laporan itu, bagi mencapai sasaran PNK, sektor pelancongan harus mencatat sumbangan PNK tiga kali ganda berbanding tahun lepas, dan menumpukan kepada tiga bidang utama termasuk ketibaan pelancong, pendapatan dan perbelanjaan pelancong.

Sektor pelancongan akan memerlukan pembiayaan kumulatif sebanyak RM203.9 bilion dari tahun 2011 hingga 2020, dengan hampir tiga peratus dibiayai sektor awam manakala 97 peratus lagi dari sektor swasta. “Jangkaan bahawa sektor swasta akan menyumbang 97 peratus daripada jumlah keseluruhan mencerminkan anjakan yang ketara dalam skala pembiayaan yang dilabur ke dalam sektor pelancongan dan gabungan pembiayaan awam-swasta,” kata laporan itu.

See also  AirAsia resumes Vientiane route, connects all Asean nations

Bagi pertumbuhan minimum, sejumlah RM63.6 bilion dalam pelaburan dijangka untuk mengekalkan kemudahan pelancongan semasa dan projek berterusan yang akan dilaksana tidak lama lagi. Kerajaan juga mengenalpasti empat pemboleh lazim yang perlu diwujudkan untuk memastikan pelaksanaan EPP, peluang perniagaan dan pertumbuhan minimum.

Ia adalah meningkat dan memfokuskan pemasaran, memulakan perkhidmatan pemudahan visa, memastikan bekalan sumber manusia berkelayakan yang mencukupi dan menambahbaik persekitaran pelancongan. Satu Pasukan Petugas Penyampaian (DTF) akan ditubuh dan ia diterajui oleh Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak bagi memastikan EPP dilaksana mengikut garis masa masing-masing.

Setiap EPP akan dimiliki oleh agensi kerajaan yang akan bertanggungjawab memastikan pelaksanaannya dan setiap pasukan EPP akan terdiri daripada sektor awam dan swasta.

NKEA turut menggariskan sasaran pencapaian penting dalam tempoh enam bulan hingga setahun. Antaranya tarif bagi kelompok pertama barangan bebas cukai dikecualikan, membangunkan laluan pejalan kaki di kawasan membeli belah KLCC-Bukit Bintang, menubuhkan Majlis Straits Riviera dan rancangan pengembangan rangkaian ke bandar-bandar utama diusahakan oleh syarikat penerbangan tempatan.

-Bernama