Harga sayur sayuran tidak selaras membebankan pengguna

Sayur-sayuran seperti cili hijau, limau nipis dan limau kasturi tidak termasuk dalam harga siling seperti yang ditetapkan oleh pihak kementerian, ujar Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan (KPDNKK).

Menurut sumber daripada  kakitangan agensi kerajaan itu, setakat ini hanya beberapa sayur-sayuran seperti cili merah, kangkung cina, kacang buncis, sawi, tomato, kacang panjang kobis bulat (tempatan) dan halia basah (tua) termasuk dalam harga siling berdasarkan panduan harga runcit mingguan pada 30 Ogos di bandar-bandar utama.

Jelasnya, pihak kementerian tiada kuasa untuk menetapkan harga cili hijau, limau nipis dan limau kasturi kerana ia bergantung kepada permintaan dan pasaran semasa.

“Pihak kementerian akan memaklumkan kepada media sekiranya harga harga barangan seperti sayuran di kawal seminggu lebih awal pada musim perayaan,” katanya dihubungi Komunitikini.

Komunitikini
telah membuat tinjauan di beberapa pasaraya besar di Shah Alam baru-baru ini dan mendapati harga cili hijau di pasaraya Giant adalah RM9.49 sen dan pasaraya Tesco pula menjualnya pada harga RM8.99 sen berbanding dengan  pasaraya Mydin yang menjualnya pada harga RM9.90 sen bagi satu kilogram.

Harga limau nipis pula adalah RM7.99 sen satu kilogram di pasaraya Giant berbanding harga RM5.99 sen di pasaraya Tesco manakala harga limau kasturi RM6.99 sen satu kilogram berbanding harga RM 4.99 sen di pasaraya Tesco.

Bagi harga cili hijau di pasar malam pula ia dijual dengan harga RM14.00 satu kilogram di mana harga jualan kepada pengguna jauh lebih tinggi berbanding harga jualan di pasaraya yang lain.

Salah seorang peniaga sayur-sayuran, Khairul Amin Hamzah, 26, ketika ditemui berkata harga bagi satu kilogram cili hijau bergantung kepada pasaran dan permintaan daripada pengguna.

“Setiap satu kilogram cili hijau dijual mengikut harga yang dibeli  kerana kami mengambil bekalan ini setiap hari semuanya bergantung kepada harga yang diberikan oleh pembekal,” ujarnya.

Berdasarkan aduan diterima Komunitikini pada 14 Oktober lalu, salah seorang pengguna, RK Sandhu mendapati harga sayur-sayuran di salah sebuah pasaraya borong terkemuka di Batu Caves jauh lebih mahal berbanding harga di pasaraya kecil.

Beliau membuat perbandingan harga, di mana harga cili hijau adalah  RM14.90 sen satu kilogram di pasaraya besar. Harga ini jauh lebih mahal berbanding harga RM8.90  satu kilogram di pasaraya kecil.

Tambahnya lagi, harga limau nipis adalah RM7.99 sen berbanding RM3.50 sen di pasaraya kecil. Manakala harga limau kasturi adalah RM6.99 sen berbanding RM2.50 sen satu kilogram di pasaraya tempatan.

Sehubungan itu, beliau mendesak pihak berkuasa mengambil tindakan tegas termasuk melakukan pemantauan ke atas pengusaha pasaraya besar yang didapati menaikkan harga barangan sayur-sayuran dengan sesuka hati.

Sementara itu, usaha Komunitikini cuba untuk mendapatkan penjelasan sebenar berhubung aduan pengguna  daripada pihak pengurusan pasaraya tersebut sejak beberapa hari lalu menemui kegagalan.

Salah seorang wakil kakitangan memberitahu pengurus komunikasi korporat  itu tiada di mejanya ketika dihubungi untuk mendapatkan komen hari ini.