APMM rampas dua bot nelayan cuba seludup diesel bersubsidi

Dua bot nelayan dengan tiga awak-awak yang cuba menyeludup diesel bersubsidi dan barangan kawalan ke Thailand ditahan Agensi Penguatkuasa Maritim Malaysia (APMM) di perairan Kuala Perlis dekat sini Khamis.

Ketua Penguatkuasa Daerah Maritim 1 Langkawi, Kapten Abdul Rahim Abdullah berkata bot pertama dengan dua awak-awak tempatan ditahan pukul 11.51 pagi setelah APMM mendapatinya dalam keadaan mencurigakan.

Hasil pemeriksaan ke atas bot tempatan itu, APMM menemui satu tangki minyak mengandungi 650 liter diesel bersubsidi dan 19 kilogram minyak masak dan 20 kilogram tepung gandum, katanya pada sidang media di sini hari ini.

Bot kedua dengan seorang awak-awak warga Thailand ditahan pukul 12.04 tengah hari dan pemeriksaan menjumpai satu tangki minyak yang mengandungi 500 liter diesel bersubsidi yang dipercayai untuk diseludup ke negara jiran.

“Kesemua awak-awak berumur antara 22 dan 56 tahun ditahan untuk siasatan.

Diesel bersubsidi dan barangan kawalan yang dirampas dianggarkan bernilai RM2,110 telah diserah kepada Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan untuk tindakan lanjut,” katanya.

Menurutnya sejak awal tahun ini, 18 kes cubaan menyeludup diesel bersubsidi telah dipatahkan berbanding tiga kes antara Januari dan Oktober tahun lalu.

— BERNAMA