Tutup kedai tiga hari, pendapatan peniaga sementara Little India terjejas

Tutup kedai tiga hari, pendapatan peniaga sementara Little India terjejas

Beberapa peniaga tapak sementara Little India mahu kerajaan menimbang semula penutupan selama tiga hari didakwa akan merugikan mereka.

Beberapa peniaga tapak sementara Little India mahu kerajaan pusat menimbang semula penutupan selama tiga hari didakwa akan merugikan mereka di sebaliknya mahu aktiviti perniagaan meliputi kawasan dari Jalan Travers hingga ke Jalan Tun Sambanthan dibuka seperti biasa.

Ia berikutan lawatan Perdana Menteri India, Dr Manmohan Singh akan melancarkan fasa pertama projek menaik taraf dan mencantikkan Brickfields menjadi “Little India” pada 27 Oktober ini.

Salah seorang peniaga, Selvarani Selvaraju, 42, berkata beliau diberitahu oleh Persatuan Peniaga Kecil Bersatu India Kuala Lumpur (Brickfields) terpaksa menghentikan operasi perniagaannya bermula dari 25, 26 dan 27 Oktober ini.

Menurutnya, beliau membayar sewa tapak sebanyak RM800 termasuk bil elektrik RM100 selama sebulan tetapi apa yang mendukacitakan apabila tidak dibenarkan untuk berniaga pada hari tersebut.

“Saya telah membelanjakan kos sejumlah RM10,000 membeli pakaian untuk berniaga di tapak sementara ini. Kami sudah meminta kepada persatuan memberikan sedikit kelonggaran termasuk pengurangan bayaran sewa tapak akibat penutupan tersebut.

Tetapi malangnya permintaan kami tidak diendahkan. Bagaimana kami ingin mendapat kembali pulangan wang modal, sepatutnya mereka membenarkan kami membuka perniagaan kerana pada waktu itu sudah tentu ramai pengunjung akan hadir,” ujarnya.

Sementara itu, Ahli Parlimen Lembah Pantai, Nurul Izzah Anwar berkata hampir setiap tahun beliau mendengar rungutan yang sama diterima daripada peniaga berhubung kadar sewa tapak sementara tinggi di kawasan ini.

See also  Malaysians overwhelmingly support end to single-use plastics

Sehubungan itu, beliau meminta Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) mengkaji semula sistem pemberian tapak bazar sementara Deepavali di sini.

Menurutnya, pihaknya menerima banyak aduan dan rungutan daripada peniaga yang mendakwa terpaksa membeli tapak bazar berkenaan dengan harga yang tinggi.

“Beberapa rungutan dibangkitkan, di mana mereka mengatakan mereka terpaksa bayar sewa yang jauh lebih tinggi daripada harga sepatutnya.

“Ada yang mengatakan mereka dikenakan harga RM2,400 dan ada sehingga RM4,000,” katanya kepada pemberita selepas mengadakan lawatan ke projek Little India, lewat petang semalam.

Menurutnya, perkara tersebut kerap dibangkitkan golongan peniaga yang mendakwa wujud ‘orang tengah’ yang mengaut keuntungan daripda caj sewa yang dikenakan.

“Saya berharap DBKL mengambil serius aduan ini dan memastikan sistem pembahagian tapak yang lebih adil kepada peniaga.

“Saya sempat menemui Datuk M Saravanan berhubung perkara ini dan berharap beliau menyatakan tindakan susulan mengenainya diambil,” jelasnya.

Sementara itu, Ahli Parlimen Bukit Bintang, Fong Kui Lun mencadangkan kepada Timbalan Menteri Wilayah Persekutuan dan Kesejahteraan Bandar, Datuk M Saravanan agar setiap papan tanda nama jalan di Brickfields ditambah dengan terjemahan dalam perkataan dan tulisan India.

See also  Volunteers unite for largest Earth Day cleanup in Penang

Menurutnya, ia bagi memudahkan pelancong khususnya yang datang daripada luar negara untuk membaca dan memahami setiap jalan dengan mudah.

“Sehubungan itu, saya akan mengemukakan surat cadangan kepada Datuk M Saravanan dalam tempoh terdekat kerana percaya ia memudahkan pelancong memahami dengan mengambil contoh setiap papan tanda jalan Bukit Bintang ditambah serta diterjemahkan dalam perkataan dan tulisan Arab.

Sementara itu, M Saravanan ketika ditemui semasa mengadakan lawatan ke projek Little India berkata, aduan tersebut diberi perhatian DBKL dan siasatan akan dilakukan.

“Kita boleh laksanakan mengikut apa kehendak masyarakat sekiranya mereka mahukan sistem sedemikian,” katanya.

Komunitikini difahamkan, projek Little India meliputi kawasan dari Jalan Travers hingga ke Jalan Tun Sambanthan, dengan fasa pertama projek bernilai RM17 juta dijangka siap dalam bulan Disember.

Fasa pertama projek itu yang menelan kos sebanyak RM7 juta, telah dimulakan dalam bulan Mei.

Ia melibatkan kerja-kerja membangunkan kawasan oleh Malaysian Resources Corporation Berhad (MRCB).

Projek dua fasa “Little India” yang bernilai RM35 juta, membabitkan pembinaan premis baru perniagaan, sebuah kompleks parkir dan pembesaran jalan.