Perpustakaan komuniti `My Second Home`dibuka untuk masyarakat setempat

Perpustakaan komuniti `My Second Home`dibuka untuk masyarakat setempat

Penduduk sekitar Taman Sri Manja kini berpeluang untuk meminjam buku sambil mengulangkaji pelajaran di Perpustakaan Komuniti ke 94 apabila kemudahan itu mula dibuka kepada orang ramai baru-baru ini.

Penduduk sekitar Taman Sri Manja kini berpeluang untuk meminjam buku sambil mengulangkaji pelajaran di Perpustakaan Komuniti ke 94 apabila kemudahan itu mula dibuka kepada orang ramai baru-baru ini.

Dengan mengamalkan konsep ‘My Second Home’, Perpustakaan Komuniti ke 94 di bawah Perbadanan Perpustakaan Awam Selangor (PPAS) terus melebarkan sayapnya ke seluruh negeri dengan mencapai 939,505 jumlah keahlian sejak ditubuhkan pada 1972 sehingga kini.

Pengarahnya, Mastura Muhamad berkata, kos pembinaan perpustakaan dengan anggaran lebih kurang RM200,000 itu meliputi tiga elemen iaitupembangunan infrastruktur, pembangunan koleksi dan perubahan minda kakitangan.

“Ketiga-tiga elemen ini merupakan intipati kepada penjenamaan semula perpustakaan yang telah dilancarkan oleh Menteri Besar, Tan Sri Khalid Ibrahim pada tahun lepas.

“Pelaksanaan tersebut adalah bagi mengubah definisi dan tanggapan masyarakat terhadap perpustakaan sebagai sebuah tempat yang senyap, membosankan dan dipenuhi buku-buku lama,” katanya.

Hadir sama, kira-kira 20 kanak-kanak tadika Taman Sri Manja dan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Taman Medan, Haniza Mohamed Talha.

See also  Goodday KidSTART 2.0 returns to nurture young entrepreneurs

Mastura berkata, Perpustakaan Komuniti yang baru ditubuhkan ini mempunyai ruangan sudut khas untuk kanak-kanak serta perkhidmatan jalur lebar secara percuma kepada masyarakat.

Di samping itu, menurutnya, perpustakaan ini turut menyediakan beberapa buah unit komputer untuk kegunaan pengguna dengan bergantung kepada ruang untuk menempatkan pelbagai jenis bahan bacaan.

“Perpustakaan ini dilengkapi dengan perabot , tandas, ruang solat, kafe perpustakaan, dekorasi cantik dan ceria berkonsepkan ‘My Second Home’ dan susun atur berbeza dengan konsep ‘Book Store’ bagi memudahkan pengguna mengetahui buku-buku terbaru,” katanya.

Di majlis tersebut, Pengerusi Jawatankuasa Tetap Pendidikan, Pendidikan Tinggi dan Pembangunan Modal Insan, Dr Halimah Ali turut sama merasmikan Wakaf Perpustakaan.

Menurutnya, koleksi perpustakaan adalah terhad dan jumlah buku yang berkurangan amat membimbangkan.

“Walaupun PPAS telah memperuntukan sebanyak RM1 juta untuk pembelian buku-buku baru namun dicampur dengan koleksi sedia hanya sebanyak 200,000 naskah berjaya dikumpul.

“Sedangkan perpustakaan baru ini boleh menampung sehingga 400,000 naskah dan bermakna separuh lagi jumlah tersebut diperlukan lagi dengan perbelanjaan kos sebanyak RM10 juta di mana harga bagi setiap satu naskah kira-kira RM50,” ujarnya lagi.

See also  DRB-HICOM University: Affordable loans now available

Justeru itu, tambahnya, penubuhan perpustakaan komuniti ini adalah untuk menerapkan budaya masyarakat gemar membaca terutamanya dalam kalangan remaja agar mereka tidak membuang masa serta terjebak dengan gejala sosial.

Halimah berkata, kerajaan negeri mengambil tindakan proaktif dengan menubuh jawatankuasa induk bagi menangani gejala sosial di peringkat negeri dan daerah.

“ Sehingga kini, Selangor memiliki satu perpustakaan negeri, 7 perpustakaan daerah, empat perpustakaan cawangan, 7 perpustakaan pekan, 70 perpustakaan desa dan tiga perpustakaan bergerak dengan 3,464,846 koleksi bahan bacaan,” jelasnya.

Bagi orang ramai yang berminat untuk menderma, sumbangan boleh dibuat secara terus ke akaun atau melalui cek dengan nama Perbadanan Perpustakaan Awam Selangor (PPAS) atau secara tunai di mana-mana perpustakaan awam Selangor.

Untuk maklumat lanjut boleh layari laman  www.ppas.gov.my.