Sasar pengusaha dan pemilik restoran bersih menjelang 2011

Sasar pengusaha dan pemilik restoran bersih menjelang 2011

Setiap premis restoran di Petaling Jaya perlu dipantau sepenuhnya daripada aspek kualiti dan penyediaan makanan untuk keselesaan orang ramai.

Pengusaha dan pemilik restoran Petaling Jaya dikehendaki mematuhi peraturan kebersihan ditetapkan dengan memastikan setiap premis dipantau sepenuhnya daripada aspek kualiti dan penyediaan makanan untuk keselesaan orang ramai.

Datuk Bandar Petaling Jaya, Datuk Roslan Sakiman berkata bagi merealisasikan hasrat tersebut pihaknya tidak akan berkrompomi dengan mana-mana pengusaha premis didapati mengabaikan aspek kebersihan.

Menurutnya, sekiranya pengusaha restoran didapati ingkar, anggota penguatkuasaan majlis daerah itu akan mengambil tindakan keras termasuk mengenakan prosedur pembatalan lesen.

“Sehingga kini, sebanyak 2,418 premis makan di kawasan bandaraya ini adalah baik dan selamat untuk dikunjungi orang ramai di mana anggotanya akan sentiasa mengadakan pemeriksaan berkala di setiap premis bagi memantau tahap kebersihan di sekitar Petaling Jaya,” katanya pada sidang media di salah sebuah kompleks membeli belah terkemuka di Mutiara Damansara, lewat petang semalam.

Hadir sama, Timbalan Datuk Bandar, Puasa Md Taib, Pengerusi Jawatankuasa Kebersihan dan Sanitasi, Latheefa Koya, ahli majlis perwakilan penduduk, pengusaha restoran serta wakil penduduk sekitar Petaling Jaya.

Dalam usaha memastikan setiap premis restoran mengamalkan kebersihan, Roslan turut meminta orang ramai memberikan maklumat sekiranya mendapati ada pengusaha dan pemilik restoran tidak mengikuti syarat yang ditetapkan serta mengabaikan aspek kebersihan.

Justeru itu, tambahnya, pelancaran prosedur pembatalan lesen untuk memperluaskan lagi undang-undang pihak berkuasa tempatan (PBT) sedia ada dengan memperketatkan dan mempelbagaikan lagi tindakan penguatkuasaan bagi mana-mana kesalahan dibawahnya.

“Antara tindakan itu termasuk notis amaran, tawaran kompaun, tindakan penutupan, tindakan mahkamah dan pembatalan lesen,” ujarnya.

Mengulas lanjut prosedur pembatalan lesen, Roslan berkata ia merangkumi peruntukan undang-undang memberi kuasa kepada Pihak Berkuasa Melesen (PBM) untuk membatalkan mana-mana lesen tanpa memberi sebarang sebab – (Akta Kerajaan Tempatan 1976); atau sekiranya berlaku kegagalan mematuhi mana-mana peruntukan Undang-undang Kecil atau pelanggaran apa-apa syarat atau sekatan lesen – (UUK) Pelesenen Establishmen Makanan (MBPJ) 2007.

Menurut beliau, walaupun terdapat kuasa pembatalan lesen yang nampaknya begitu tegas, namun didapati tidak ada satu prosedur khusus untuk menentukan kuasa-kuasa ini terutamanya tindakan pembatalan lesen diguna pakai secara adil dan telus sekali gus mengelak daripada penyalahgunaan.

“Oleh yang demikian, wujudnya dasar ini untuk memantapkan tindakan penguatkuasaan melalui pembatalan lesen bagi kesalahan kesihatan dan kebersihan yang dianggap serius terutamanya kesalahan yang berulang atau dianggap `serial or habitual offenders’,” jelasnya lagi.

Sementara itu, penyelia restoran makanan segera, Asnalani Mohammad, 27, menyifatkan program yang dianjurkan memberikan pendedahan berguna kepada pengusaha dan pekerja khususnya mempertingkatkan lagi tahap kebersihan di premis masing-masing.

“Saya berharap agar anugerah premis bersih ini diteruskan di masa hadapan bagi memastikan semua premis memberi tumpuan terhadap kebersihan dan keselesaan orang ramai,” katanya kepada Komunitikini.