Individu muflis harus diberi peluang kedua- FOMCA

Individu muflis harus diberi peluang kedua- FOMCA

Ramai golongan muda yang menjadi muflis, justeru membebankan hidup mereka.

Gabungan Persatuan Pengguna Malaysia  (Fomca) menyokong langkah kerajaan memberi peluang kedua kepada individu muflis untuk menebus hutang mereka.

Setiausaha agungnya Muhammad Shaani Abdullah berkata ini kerana ramai golongan muda yang menjadi muflis dan mereka perlu diselamatkan daripada beban ini sepanjang hidup mereka.

Beliau mengulas pengumuman Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak pada pembentangan bajet 2011 bahawa kerajaan akan membantu golongan itu.

Sebagai klangkah jangka panjang menangani masalah muflis ini, Muhammad Shaani mencadangkan agar kerajaan memperkenalkan ‘pembelajaran pengurusan kewangan’ di sekolah untuk mendidik kanak kanak bagaimana untuk mengurus dana mereka.

Beliau turut mencadangkan agar institusi pengajian tinggi menekankan aspek kemahiran insaniah seperti komunikasi, pengurusan konflik, motivasi diri, pengurusan masa dan kepimpinan untuk mempersiapkan graduan berdepan ‘dunia sebenar’.

See also  FinDoc and CTOS partner to boost financial literacy

Muhammad Shaani juga berkata Fomca kecewa kerana bajet kali ini tidak menggariskan langkah-langkah untuk keselamatan sosial pengguna memandangkan terdapat pengurangan dalam pemberian subsidi.

Beliau juga mencadangkan warga miskin dan mereka yang tidak berkemampuan harus dilindungi dengan pemberian setem makanan dan subsidi khas untuk perumahan, pendidikan, pengangkutan dan perkhidmatan kesihatan.

-Bernama