Kekasih ditahan disyaki terbabit dalam kegiatan DVD lucah

Polis menahan sepasang kekasih kerana disyaki terlibat dalam kegiatan membuat salinan DVD lucah di kediaman mereka di Taman Pinggiran Putra dekat sini semalam.

Ketua Polis Daerah Serdang Supt Abdul Razak Elias berkata lelaki berusia 30 tahun dan pasangannya yang berumur 32 tahun itu ditahan pada pukul 4.15 petang atas maklumat penduduk di kawasan itu.

“Maklumat awal yang kami peroleh ialah jiran-jirannya mendakwa pasangan kekasih itu melakukan kegiatan dadah namun apabila diserbu, kami temui 395 keping DVD lucah, 600 keping DVD kosong, satu set komputer dan tujuh ‘burner’,”katanya kepada pemberita di Ibu Pejabat daerah (IPD) Serdang di sini, hari ini.

Beliau berkata pasangan itu menjadikan kediaman mereka sebagai tempat memproses DVD lucah sebelum diedar ke pasar malam di bahagian utara negara.

“Sekeping DVD dianggar bernilai antara RM15 dan RM20. Anggaran kesemua rampasan termasuk DVD kosong, set komputer dan burner ialah RM10,000,”katanya.

Abdul Razak berkata pemeriksaan awal mendapati lelaki dari Perak itu tamat pengajian Kejuruteraan Komputer dari sebuah institusi di Jepun kira-kira empat bulan lepas.

“Lelaki itu belajar di sana selama enam bulan dengan ditaja oleh abangnya yang tinggal di Perak dan dipercayai juga terbabit dalam kegiatan ini manakala pasangannya yang berasal dari Kelantan tidak bekerja,” katanya.

Beliau berkata polis percaya mereka melakukan kegiatan itu sejak mula menginap di kawasan berkenaan kira-kira empat bulan lepas.

Pasangan itu juga positif dadah jenis Methaphetamine dan wanita itu mempunyai satu rekod jenayah lampau iaitu penagih dadah.

Kedua-duanya ditahan reman selama empat hari mulai hari ini dan kes disiasat mengikut Seksyen 5(2) Akta Penapisan Filem 2002 dan Seksyen 15(1)(a) Akta Dadah Berbahaya 1952, katanya.

– Bernama