Tumbuk teman wanita sampai retak hidung kerana cemburu

Seorang lelaki yang dipercayai cemburu telah bertindak menumbuk teman wanitanya sampai retak hidung wanita berkenaan di Kawasan Rehat dan Rawat (R&R) Temerloh, Lebuhraya Pantai Timur malam kelmarin.

Wanita berkenaan telah dibawa ke Hospital Sultan Haji Ahmad Shah Temerloh untuk menerima rawatan pada 8.30 pagi tadi sementara lelaki tersebut menyerah diri kepada polis.

Timbalan Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Pahang, Supt Nordin Mustapha berkata sebelum itu berlaku pertengkaran antara remaja perempuan berumur 18 tahun itu dengan teman lelakinya yang berumur 24 tahun.

“Mangsa yang tinggal di Jengka 19 dekat Maran baru sahaja sampai dengan sebuah bas ekspres dari Kuala Lumpur pada 9 malam. Ketika bas berhenti di R&R Temerloh, mangsa menghubungi teman lelakinya dari Jengka 18 untuk mengambilnya di situ.

“Setelah teman lelakinya datang menjemputnya, berlaku satu pertelingkahan yang dipercayai berpunca daripada cemburu.

“Lelaki berkenaan yang naik berang telah bertindak menumbuk muka mangsa menyebabkan hidung mangsa retak sebelum teman lelakinya itu meninggalkannya di situ,” katanya kepada pemberita.

— BERNAMA