Peniaga perlu jaga kebersihan, manfaat kemudahan sedia ada

Peniaga di Pasar Awam Taman Megah SS24 di sini diminta memanfaatkan kemudahan yang disediakan di pasar berkenaan dengan memastikan semua sentiasa berkeadaan baik.

Datuk Bandar Petaling Jaya, Datuk Mohammad Roslan Sakiman  juga berharap kesemua 62 peniaga di pasar itu akan menjaga kebersihan premis dan persekitaran untuk faedah bersama.

Menurutnya, para peniaga di situ kini bukan sahaja menikmati ruang niaga yang lebih selesa, bersih serta dilengkapi pelbagai kemudahan tetapi turut memiliki lesen perniagaan yang sah.

“Pembinaan pasar ini merupakan salah satu program di bawah Pelan Tindakan Penjaja Tanpa Lesen Sifar di kawasan pentabdiran kita.

“Apa yang diharapkan pembinaan kompleks ini benar-benar dapat dimanfaat sepenuhnya oleh 62 peniaga asal yang sebelum ini berniaga tanpa kemudahan tersebut sejak 15 tahun lalu,” katanya.

Dalam pada itu, beliau berkata, Majlis Bandaraya Petaling Jaya (MBPJ) akan menganjurkan pertandingan pasar bersih melibatkan 1,263 unit pasar awam di bawah pentadbirannya.

“Saya percaya dengan adanya pertandingan ini, harapan untuk melahirkan sebuah masyarakat yang cintakan kebersihan, keindahan dan melestarikan alam semula jadi akan tercapai,” katanya.

Dalam perkembangan lain, tinjauan Komunitikini ke pasar berkenaan mendapati ia berada dalam keadaan teratur, bersih serta menjual pelbagai barangan keperluan harian pengguna.

Kompleks pasar yang mengandungi dua blok utama dengan keluasan 1,297.31 meter persegi itu memuatkan tiga unit gerai makan, lapan unit gerai barangan kering, lima unit gerai barangan runcit serta empat unit gerai pakaian.

Turut disediakan ialah lima unit gerai sayur, tempat menurun dan memunggah barang dan pejabat cawangan MBPJ.

Kemudahan golongan kurang upaya (OKU) turut tidak diabaikan menerusi pembinaan laluan pejalan kaki, tempat letak kereta dan tandas bagi golongan berkenaan.

Sementara itu, peniaga yang ditemui mengakui merasa gembira bukan sahaja kerana berpindah ke tempat lebih selesa dan lengkap dengan kemudahan asas tetapi juga kerana memiliki lesen perniagaan yang sah.

Bagi Thong Thiem Fatt,43, yang berniaga barangan runcit pula berkata, kompleks baru itu diharap dapat meningkatkan lagi pendapatan peniaga-peniaga disitu dan orang awam.

Menurutnya, berbanding tapak lama yang agak kurang selesa, beliau menganggap pasar baru itu lebih bersih dan tersusun.

Sementara itu, Norhayati Mohd Din, 50, pula mengakui sudah dapat merasakan angin perubahan sejak berpindah ke situ.

“ Walaupun ruang tidaklah terlalu besar dan luas, tetapi ini telah memadai dan yuran sewa berbaloi dengan keselesaan dan kelengkapan yang terdapat di sini berbanding dahulu,” ujarnya.

Bagaimanapun, peniaga berharap beberapa perkara tertentu akan dapat diatasi oleh MBPJ secepat mungkin bagi meningkatkan lagi keselesaan pelanggan.

Antaranya, kekurangan tempat letak kereta, ruang menjual ikan dan sayur yang sempit serta ketiadaan alat penyedut udara panas.