Penduduk Tmn Pandan Perdana serah memo bantahan Sabtu ini

Lebih kurang 700 kumpulan bertindak penduduk Taman Pandan Perdana akan berhimpun di tapak kawasan lapang pusat latihan golf bagi menyatakan pendirian membantah sebarang aktiviti pembangunan dilaksanakan di kawasan perumahan mereka pada masa hadapan.

Pengerusi Jawatankuasa Bertindak Penduduk Taman Pandan Perdana, Mohd Zamani Hassan berkata kumpulan itu akan menyerahkan memorandum bantahan kepada wakil Majlis Perbandaran Ampang Jaya (MPAJ) pada 16 Oktober sebelum sebarang aktiviti pembinaan baru dirancang di kawasan lapang tersebut

Menurutnya, kumpulan itu terbahagi kepada dua, pendokong kariah surau dan Kumpulan Rukun Tetangga (KRT) rumah pangsa kos rendah kawasan perumahan tersebut akan menyerahkan nota bantahan kepada wakil Pihak Berkuasa Tempatan (PBT).

“Kami mahu MPAJ mengekalkan kawasan lapang kepada keadaan asal seperti sedia kala,” katanya dihubungi Komunitikini, lewat petang tadi.

Mohd Zamani berkata, dahulunya kawasan lapang itu dipenuhi dengan tumbuh-tumbuhan kehijauan tetapi MPS bertindak membina pusat latihan golf pada 2002 lalu.

Jelasnya, namun penduduk mendapati pusat latihan golf itu kini tidak lagi beroperasi dan terbiar selepas pilihan raya umum ke 12 pada 2008 lalu.

“Justeru itu, penduduk menggesa pihak berwajib supaya menghentikan projek pembangunan yang akan dilaksanakan pada masa hadapan dan mahu ia dikekalkan dengan kehijauan alam dan flora,” tegasnya.