Kondo baru, penghuni Bayu Angkasa kesal DBKL berdiam diri

Kondo baru, penghuni Bayu Angkasa kesal DBKL berdiam diri

Kira-kira 200 penghuni kondominium Bayu Angkasa masih menanti jawapan berhubung bantahan mereka terhadap cadangan projek pembinaan satu blok kondominium 17 tingkat sejak dua tahun lalu.

bangsar

Kira-kira 200 penghuni kondominium Bayu Angkasa masih menanti jawapan berhubung bantahan mereka terhadap cadangan projek pembinaan satu blok kondominium 17 tingkat mengandungi kemudahan penduduk dan tempat letak kereta berhadapan kediaman mereka sejak dua tahun lalu.

Sebelum ini, mereka telah mengemukakan dua memorandum bantahan – satu kepada Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) dan satu lagi kepada ahli parlimen Lembah Pantai Nurul Izzah Anwar – tetapi tiada sebarang jawapan yang diterima sehingga hari ini.

IMAG0091
Pengurus Hartanah Kondominium Bayu Angkasa, David Kumar berkata memorandum kepada DBKL itu diserahkan oleh penduduk yang mengunjungi pejabat Datuk Bandar sebelum hari raya Aidilfitri lalu.

Manakala memorandum kedua diserahkan kepada Nurul Izzah, juga untuk dipanjangkan kepada Datuk Bandar DBKL, Datuk Seri Ahmad Fuad Ismail.

Penghuni berkenaan membantah pembinaan kondominium itu kerana bimbang keselamatan mereka yang tinggal berdekatan projek pembinaan itu akan terancam kerana ia terletak berhadapan dengan kediaman mereka.

“Pihak berkenaan perlu telus memberitahu kami perkara sebenar dan sewajarnya draf pembinaan kondominium itu ditunjukkan kepada kami terlebih dahulu – sebagai pihak pengurusan hartanah – untuk mendapatkan gambaran sama ada projek pembangunan itu dijalankan mengikut spesifikasi sebenar atau tidak,” kata David kepada Komunitikini.

bangsar5

Mengulas lanjut, beliau turut difahamkan bahawa Jabatan perancangan dan kejuruteraan DBKL telah menerima maklumat daripada Institut Kerja Raya Malaysia (IKRAM) berhubung cadangan pembinaan kondominium berkenaan.

Menurut David, penghuni juga ingin mengetahui tentang maklum balas daripada IKRAM, sama ada kondominium itu boleh dibina atau ada prasyarat atau sebaliknya.

See also  Ridge View @ Puchong: Luxury villas amid nature in Puchong

Setakat ini, katanya, penghuni berada ‘dalam kegelapan’ kerana tidak tahu perkembangan terkini berhubung status projek tersebut.

“Cukuplah dengan kejadian tanah runtuh yang menimpa penghuni kondominium di Bukit Antarabangsa sebelum ini. Kami berharap Datuk Bandar akan mempertimbangkan perkara ini dengan sebaik-baiknya,” ujarnya.

Menurutnya lagi, penghuni berpendapat adalah tidak wajar sekiranya kerja pembinaan kondominium dijalankan di kawasan tersebut kerana mereka perlu mengambil kira kepadatan penduduk di samping struktur permukaan tanah tinggi di sekitar Bukit Bandaraya.

“Kami bimbang keselamatan penghuni yang tinggal berdekatan projek pembinaan itu akan terancam kerana ia terletak berhadapan dengan kediaman penghuni dan berharap pihak berkuasa tidak meneruskan projek tersebut,” tegasnya.

bangsar3

David berkata, kebanyakan penghuni meletak kenderaan mereka  di sepanjang jalan berhadapan tapak projek memandangkan pihaknya hanya menyediakan tapak meletakkan kenderaan terhad, sebanyak 232 unit sahaja.

Mengenai aspek keselamatan penghuni, beliau mendakwa sejak tiga tahun kebelakangan ini, kenderaan berat menjadikan jalan utama kondominium itu sebagai laluan keluar-masuk menuju ke kawasan pembinaan projek pembangunan terletak di penghujung jalan.

“Saya dimaklumkan kenderaan berat bermuatan melebihi 5 tan, tidak dibenarkan melalui jalan ini, tetapi apa yang saya dapati pemilik kenderaan berat ini engkar,” ujarnya.

Terdahulu, Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) telah  mengemukakan cadangan untuk menambah kepadatan penduduk daripada 30 kepada 157 orang bagi satu ekar serta membina satu blok kondominium 17 tingkat (18 unit) bersama kemudahan penduduk dan tempat letak kereta di Lot 40404 Jalan Medang Kapas, Bangsar.

See also  PHC addresses cable car project approval concerns

Berdasarkan salinan surat yang dihantar kepada penghuni kondominium bertarikh 12 November 2008, permohonan cadangan serta bantahan yang dikemukakan oleh  penduduk, telah dipertimbangkan secara terperinci oleh Datuk Bandar DBKL terdahulu, Datuk Abdul Hakim Borhan dalam mesyuarat Jawatankuasa Pusat Setempat Satu pada 19 Februari 2008.

Mesyuarat itu telah meluluskan cadangan pembangunan itu, setelah meneliti semula aspek perancangan teknikal berasaskan Intensiti pembangunan, kepadatan dan ketinggian bangunan yang dicadangkan, adalah selaras dengan garispanduan perancangan di kawasan ini.

Pembangunan tersebut menyediakan keperluan anjakan bangunan penyediaan tempat letak kereta, kawasan hijau dan kemudahan penduduk yang mencukupi serta jalan keluar masuk yang teratur.

Permohonan itu juga telah diteliti dan dikaji secara terperinci dalam mesyuarat Jawatankuasa Penyelarasan Pembangunan Kawasan Sensitif Alam Sekitar dan pihak pemaju telah disyaratkan mematuhi kehendak Jabatan Teknikal terlibat bagi memastikan aspek keselamatan, perlindungan alam sekitar, pematuhan spesifikasi kerja-kerja tanah, penyelenggaran cerun semasa dan selepas pembinaan dan lain-lain dipatuhi sepenuhnya.

Pihak pemaju juga telah disyaratkan dalam perintah pembangunan supaya memastikan kerja-kerja tanah dan pembinaan yang dijalankan di tapak tersebut, tidak mengakibatkan kerosakan serta mengganggu dan sebagainya kepada lot-lot bersebelahan di sekitar kawasan pembinaan.

Berdasarkan kriteria-kriteria di atas, datuk bandar memutuskan cadangan pembangunan ini diluluskan dan perintah pembangunan diberikan pada 2 Mei 2008.