Peluang nonton filem sosial, hak asasi manusia secara percuma mulai Sabtu dan Ahad ini

Peluang nonton filem sosial, hak asasi manusia secara percuma mulai Sabtu dan Ahad ini

Kerajaan Selangor melalui Jawatankuasa Tetap Kebudayaan dengan kerjasama Pusat Komas akan menganjurkan `Freedom Film Fest 2010’ pada 16 dan 17 Oktober ini di menara Perbadanan Kemajuan Negeri Selangor (PKNS), Petaling Jaya.

Pengerusi Jawatankuasa Tetap Kebajikan, Hal Ehwal Wanita, Sains, Teknologi & Inovasi dan Kebudayaan, Rodziah Ismail berkata , FFF telah dianjurkan sejak tahun 2003 oleh Pusat Komas bertujuan untuk meningkatkan minat orang ramai dalam pembikinan filem sosial dan juga membuka ruang perbincangan yang luas dan selamat.

Menurutnya, FFF 2010 akan memaparkan 14 filem sosial dan hak asasi manusia di dalam dan luar negeri selama dua hari berturut turut di mana ia merupakan salah satu program utama Jawatankuasa Tetap Kebudayaan pada tahun ini.

“Apa yang unik mengenai FFF adalah setiap sesi tayang filem akan diikuti dengan sesi perbincangan sehingga kini terbukti efektif dalam memberi kesedaran dan kefahaman kepada orang awam,” katanya pada sidang media di bangunan Setiausaha Kerajaan Negeri (SUK), Shah Alam, tengahari tadi.

See also  Sunway Uni hosts Times Higher Education Asia Summit

Turut hadir, Pengarah Komas, Anna Har dan Kordinator FFF, Maisarah Muhd Najib.

Rodziah berkata, mereka yang menyaksikan sepanjang dokumentari ini berlangsung juga digalakkan untuk berkongsi pendapat dan perasaan setelah selesai menonton filem tersebut

Jelasnya, tema-tema perbincangan untuk FFF 2010 ini termasuklah hak golongan miskin, tolak ansur dalam isu agama, isu demokrasi di institusi pengajian tinggi dan juga hak orang asal Malaysia.

“Filem-filem yang ditayangkan sudah pasti akan membuka minda penonton untuk menyedari isu yang terpaksa dihadapi oleh rakyat Malaysia  di negara ini  yang mempunyai kisah dan cerita yang berlainan,” ujarnya.

Menurutnya lagi, antara tarikan utama FFF kali ini adalah tayangan perdana filem pemenang anugerah FFF 2010 yang telah melalui pertandingan cadangan pembikinan filem pada awal tahun.

See also  Xsolla Curine Academy and UM join forces in digital innovation

“Filem yang akan ditayangkan di menara PKNS pada 16 Oktober , jam 7.45 malam adalah `Kisah Taukeh Mancis dan Minyak Tumpah’  oleh Sheridan Mahavera dan Siti Nurbaiyah, filem berkisar mengenai cara menangani ekstremis di Malaysia.

“Selain itu, `Pilih’ oleh Loo Que Lin, filem berkisar mengenai demokrasi pelajar di Malaysia dan `Hak  Dinafikan` oleh Abri Yok Chopil dan Shafie Dris, filem berkisar mengenai tanah adat orang asal turut ditayangkan,” ujarnya.

Sehubungan itu, Rodziah turut mengingatkan kepada orang ramai yang berminat mendapatkan pas jemputan percuma dan melihat jadual tayangan penuh, sila layari www.freedomfilmfest.komas.org atau menghubungi di talian 03-79685415.

“Penyertaan adalah terbuka daripada peringkat remaja sehinggalah dewasa. Mereka perlu mendapatkan pas jemputan sebelum filem ditayangankan memandangkan majlis ini adalah tertutup dan kehadiran adalah berdasarkan jemputan sahaja,” jelas beliau lagi.