Penduduk bimbang kesihatan terancam akibat `serangan` lalat

Penduduk bimbang kesihatan terancam akibat `serangan` lalat

Oleh Khaulah Azwar

Bimbang kesihatan keluarga terancam, penduduk Taman Sri Gombak menggesa pihak berwajib menyelesaikan masalah sampah sarap tidak dikutip di kawasan taman perumahan sejak beberapa bulan lalu.

Lebih memburukkan lagi keadaan apabila penduduk mendakwa sampah sarap yang tidak dikutip itu menyebabkan mereka terpaksa berhadapan dengan `serangan` serangga seperti lalat  hampir saban hari.

Salah seorang penduduk  S Vani berkata, mereka sekeluarga resah apabila serangga itu mula menghinggapi pada makanan berpotensi menyebarkan kuman pembawa pelbagai penyakit.

Menurutnya, beliau bimbang dengan tahap kesihatan diri dan keluarganya berikutan jumlah serangga itu terlalu banyak sehingga menyukarkan beliau untuk membuka pintu dan jendela rumah.

“Sebelum ini saya telah  membuat aduan kepada pihak Majlis Perbandaran Selayang (MPS) beberapa kali untuk memantau kawasan tersebut, namun amat mengecewakan kerana tiada tindakan diambil.

See also  Alpro Pharmacy & TCI Gene partner for genetic testing

“Masalah dihadapi bukannya datang daripada individu sendiri tetapi ia merangkumi masyarakat yang tinggal di sekitar kawasan ini,” katanya.

S Vani berkata, walaupun pemantauan telah dilakukan oleh kakitangan majlis daerah tersebut, tetapi beliau tidak tahu sejauh tindakan itu berkesan.

Jelasnya, masalah yang timbul ini adalah berpunca daripada pembuangan sampah secara berleluasa di kawasan tanah persendirian yang terletak di fasa 8, Gombak.

“Saya berharap pihak berwajib mengambil tindakan dan melakukan pemantauan sepenuhnya bagi mengatasi masalah ini,” ujarnya.

Dalam perkembangan lain, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Gombak Setia, Datuk Dr Hasan Ali bersama pihak kontraktor dan wakil penguatkuasa MPS telah melakukan tinjauan ke kawasan tersebut baru-baru ini.

See also  Alpro Pharmacy & TCI Gene partner for genetic testing

Hasil daripada tinjauan tersebut mendapati bukan sahaja sampah sarap namun terdapat bahan-bahan konkrit antaranya seperti longgokan kayu  dan sisa-sisa makanan telah dibuang di kawasan tersebut.

Sementara itu, wakil penguatkuasa MPS, Abdul Wahab berkata pihaknya telah mengeluarkan kompaun kepada individu terlibat dengan aktiviti mencemarkan alam sekitar.

Beliau difahamkan, wakil pihak terbabit memberitahu mereka telah mendapat kebenaran daripada pemilik tanah di kawasan untuk melaksanakan kerja sementara menunggu permohonan daripada pihak majlis daerah tersebut.

“Sehubungan dengan itu, satu resolusi telah diambil setelah mengadakan pertemuan dengan ADUN Gombak Setia meminta supaya pihaknya menyediakan satu laporan aktiviti pemantauan pernah dilaksanakan di kawasan ini.

“Insyallah, kita akan mengadakan satu mesyuarat khas bagi membincangkan serta mengatasi masalah tersebut dengan baik,” katanya.