12 maut, lebih 40 cedera dalam kemalangan babitkan enam kenderaan

12 maut, lebih 40 cedera dalam kemalangan babitkan enam kenderaan

Seramai 12 orang maut dan lebih 40 lagi cedera dalam satu kemalangan membabitkan dua bas, sebuah van dan tiga kereta di Kilometer 223, Lebuh Raya Utara-Selatan berhampiran plaza tol Simpang Ampat di sini petang semalam.

Polis berkata kejadian berlaku pada kira-kira 6.40 petang apabila sebuah bas ekspres yang menuju ke Kuala Lumpur, gagal dikawal lalu melambung dan memasuki laluan bertentangan.

Bas terbabit kemudian melanggar sebuah van dan menghempap dua kereta lain sebelum melanggar bahagian tepi bas Jabatan Kebajikan Masyarakat yang menuju ke selatan.Sebuah kereta lagi turut terbabit dalam kemalangan itu, namun pemandu dan penumpangnya selamat.

Setakat ini, kesemua mangsa belum dapat dikenal pasti.

Semua mangsa yang meninggal dunia dan cedera dihantar ke tiga hospital berasingan iaitu Hospital Tampin, Hospital Tuanku Ja’afar dan Hospital Melaka.

Kemalangan itu menyebabkan kesesakan lalu lintas yang teruk di kedua-dua hala.

-BERNAMA