Terminal bersepadu selatan siap, dijangka beroperasi hujung tahun ini

Terminal bersepadu selatan siap, dijangka beroperasi hujung tahun ini

Terminal Bersepadu Selatan-Bandar Tasik Selatan (TBS-BTS) yang dilengkapi kemudahan teknologi moden dan terkini, telah pun siap sepenuhnya dan dijangka beroperasi selewat-lewatnya hujung tahun ini.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Seri Mohamed Nazri Abdul Aziz berkata terminal tersebut akan ditinjau terlebih dahulu oleh Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak pada 17 Okt ini sebelum diumumkan untuk beroperasi.

“Saya difahamkan ia (terminal) dah boleh beroperasi sebenarnya, tetapi kita perlu memberi penghormatan kepada orang yang merupakan penggerak kepada wujudnya bangunan (terminal) ini dan bila dia kata ok, kita mulalah operasi dan orang itu ialah Perdana Menteri,” katanya kepada pemberita selepas melawat terminal itu semalam.

Beliau berkata dengan terbinanya terminal enam tingkat itu dengan nilai RM570 juta, ia merupakan komitmen kerajaan dalam memberi perkhidmatan yang terbaik kepada rakyat.

“Inilah keprihatinan kita (kerajaan) terhadap keperluan rakyat. Saya amat gembira sekali kerana dapat tunai janji kepada rakyat dan percaya terminal ini dapat penuhi kehendak rakyat,” katanya.

Terminal yang mempunyai 55 platform bas, 55 ruang bagi teksi perjalanan jauh, 1,000 ruang parkir kereta dan 1,800 tempat duduk dalam terminal yang dilengkapi pendingin hawa, akan berfungsi sebagai hab pusat bagi semua perkhidmatan bas ekspres ke selatan dan mampu menampung 45,000 pengguna sehari.

Terminal TBS-BTS dihubungkan melalui Lebuhraya Sungai Besi (BESRAYA), Lebuhraya Seremban di bahagian selatan serta Jalan Lingkaran Tengah II (MRR II) di bahagian timur.

Turut hadir Pengarah Eksekutif Kumpulan Maju Holdings Sdn Bhd Tan Sri Abu Sahid Mohamed, pemaju projek itu.

BERNAMA