Tindakan tegas pengusaha pasar malam haram di SS2

Tindakan tegas pengusaha pasar malam haram di SS2

Pengusaha pasar malam SS2 yang didapati berniaga secara haram serta tidak mempunyai lesen akan dikenakan tindakan tegas termasuk barangan perniagaan disita.

Ahli Majlis Bandaraya Petaling Jaya (MBPJ) Zon 8, Tony Cheong Siew Thong berkata, pihaknya akan mengadakan operasi bersama agensi penguatkuasaan bagi membanteras kegiatan haram dalam tempoh terdekat.

Menurutnya,operasi ini bagi membendung pengusaha pasar malam yang menjual cakera padat video (VCD) dan cakera padat digital (DVD) cetak rompak secara berleluasa kepada orang ramai.

“Kami sudah memberikan notis awal kepada pengusaha tersebut dan mendapati mereka masih berdegil meneruskan operasi secara haram.

“Kemungkinan besar dalam minggu ini kita akan melaksanakan operasi membanteras pengusaha yang beroperasi secara haram,” katanya ditemui Komunitikini baru-baru ini.

Sementara itu, Ahli MBPJ Zon 6, Tiew Way Keng berkata pihaknya akan mengadakan majlis perasmian pembukaan bangunan Pasar Taman Mega pada 17 Oktober bermula jam 10 pagi dijangka akan dihadiri Exco Kerajaan Selangor, Ronnie Liu.

Menurutnya, bagi minggu ini, pihak majlis dalam proses pemeriksaan bajet tahun 2011 dan berharap kepada seluruh warga penduduk Petaling Jaya supaya mengemukakan pandangan, cadangan atau permintaan berhubung perkara tersebut.

“Manakala bagi cadangan stadium hoki Petaling Jaya, saya berharap sama ada penduduk, pemain hoki atau bekas boleh memberi komen serta menghubungi seluruh ahli majlis mewakili 24 zon atau emel kepada saya di [email protected],” ujarnya.