RM102 Juta bagi 149 PBT tahun depan – Chor

RM102 Juta bagi 149 PBT tahun depan – Chor

Dalam laporan GPI 2010, beliau berkata Malaysia kini berada di tempat ke-22 di dunia dan mengatasi Singapura sebagai negara paling selamat di Asia Tenggara manakala kedua selepas Jepun di kalangan negara-negara Asia.

Sejumlah RM102 juta akan diperuntukkan bagi 149 Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) tahun depan untuk menggerakkan dan memperluaskan Program Bandar Selamat yang diperkenalkan pada 2004.

Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan Datuk Chor Chee Heung berkata sejak 2004, hanya 39 daripada 149 PBT menyertai program berkenaan.

“Program ini sekarang akan digerakkan semula dan diperluaskan kepada semua PBT seluruh negara sebagai satu usaha untuk mengurangkan jenayah jalanan.

“Sejumlah RM36 juta diperuntukan bagi melaksanakan projek-projek berkaitan dan bagi memastikan 39 PBT dapat memperoleh status bandar selamat pada tahun ini,” katanya kepada pemberita selepas merasmikan seminar mengenai pencegahan jenayah menerusi reka bentuk alam sekitar di sini Khamis.

Chor berkata enam langkah segera yang memberi penekanan kepada reka bentuk alam sekitar yang betul, iaitu pemisahan laluan pejalan kaki daripada lorong motosikal, pemasangan lampu, amaran keselamatan, cermin keselamatan dan membersihkan kawasan semak-samun akan dilaksanakan di bawah Program Bandar Selamat.

“Yang lain adalah pemasangan kamera litar tertutup (CCTV) dan pengwujudan peta asas Sistem Maklumat Geografi (GIS) untuk mengenal pasti kawasan-kawasan panas yang banyak perlakuan jenayah,” katanya.

Terdahulu, semasa berucap Chor meminta PBT memastikan bahawa Program Bandar Selamat menjadi satu agenda wajib yang mesti dibincangkan dalam mesyuarat bulanan dan hasil tindakan pencegahan jenayah mesti dikemukakan secara berkala kepada kementerian.
Malaysia lebih selamat daripada Singapura

Mengenai Indeks Keamanan Global (GPI), Chor berkata Malaysia merupakan negara ketiga paling selamat di Asia selepas Jepun dan Singapura, serta menduduki tempat ke-26 dalam kalangan 144 negara di dunia, tahun lepas.

Dalam laporan GPI 2010, beliau berkata Malaysia kini berada di tempat ke-22 di dunia dan mengatasi Singapura sebagai negara paling selamat di Asia Tenggara manakala kedua selepas Jepun di kalangan negara-negara Asia.

“Ini merupakan sesuatu yang baik bagi negara. Namun kita tidak boleh berasa puas hati dan mesti melihat kepada satu ketika jenayah jalanan ini akan menjadi sejarah dan anak-anak malahan cucu-cicit kita boleh menikmati kekayaan sumber negara ini,” katanya.

Mengenai Bidang Keberhasilan Utama Negara (NKRA) untuk mengurangkan jenayah, Chor berkata berdasarkan laporan yang dikeluarkan Unit Pengurusan Prestasi dan Penyampaian di bawah Jabatan Perdana Menteri, jenayah jalanan dan keseluruhan indeks jenayah telah menurun sebanyak 37 peratus dan 16.24 peratus.

“Dengan meneruskan usaha-usaha dan langkah sedia ada, saya percaya Malaysia boleh menjadi sebuah negara paling selamat, menarik untuk kehidupan, percutian, pelaburan dan perniagaan,” katanya.

Mengenai pencegahan jenayah menerusi reka bentuk alam sekitar (CPTED), beliau berkata ia merupakan satu pendekatan mencegah jenayah di kawasan perumahan dan komersil baru berdasarkan empat prinsip utama yang digunakan masyarakat antarabangsa.

Prinsip berkenaan adalah pemantauan lazim, kawalan kemasukan biasa, memperkukuhkan kawasan sempadan dan pengurusan serta penyelenggaraan.

“Kementerian berhasrat untuk memperkenalkan garis pelaksanaan CPTED sebagai dokumen rujukan bagi semua pembuat keputusan berkaitan, perancang, pengurus dan pereka bentuk.

Dokumen, yang mengandungi ringkasan konsep, garis panduan umum dan senarai semak mesra pengguna, akan menggariskan keperluan-keperluan asas bagi rekaan dan pengurusan alam sekitar yang dibina supaya masyarakat, bandar, pekan lebih selamat dan terjamin, katanya.

CPTED, katanya bukan hanya digunakan untuk pembangunan baru tetapi juga boleh dilaksanakan di kawasan pembangunan sedia ada.

Pihak-pihak berkepentingan khususnya pemaju hartanah dan pereka bentuk digalakkan melaksanakan CPTED secara kreatif dan tidak terlalu terikat dengan undang-undang dan peraturan, katanya.

Bernama