Sambutan Aidilfitri penghuni Rumah Kebajikan Insaniah, remaja PPR Lembah Subang meriah

IMG_0699

Kira-kira 80 penghuni Rumah Kebajikan Insaniah serta remaja daripada Program Perumahan Rakyat (PPR) Lembah Subang diraikan dalam majlis sambutan Aidilfitri anjuran Majlis Bandaraya Petaling Jaya (MBPJ) di  Taman Kanagapuram, Petaling Jaya petang semalam.

Ahli Majlis MBPJ, Mahharul Ismail berkata, objektif utama penganjuran ini dengan memberi sumbangan ikhlas berupa duit raya serta jamuan ringan kepada golongan kurang upaya serta insan kurang bernasib baik.

Menurutnya, program ini merupakan salah satu tanggungjawab komuniti Pihak Berkuasa Tempatan (PBT)  memberi kesedaran kepada golongan remaja yang berupaya serta bernasib baik supaya lebih sedar serta bersyukur dengan nikmat tuhan berbanding dengan golongan yang memerlukan.

“Tugas majlis daerah tempatan tidak hanya terbatas kepada memberi perkhidmatan sahaja tetapi lebih meluas lagi di mana tanggungjawab sosial juga turut diberi perhatian,” katanya.

IMG_0698

Hadir sama, Naib Presiden Persatuan Pemulihan Orang-Orang Cacat Selangor dan Wilayah Persekutuan Petaling Jaya, Toh  Puan Siti Ruhani Yunos dan Penolong Pengarah (Sosial) Kebudayaan dan Pelancongan MBPJ, Noraini Adam.

Di majlis itu, pengunjung yang hadir turut dihiburkan dengan persembahan nyanyian daripada peserta anjuran Rakan Masyarakat Bersama Penghuni Rumah Kebajikan Insaniah.

IMG_0701

Mengulas lanjut, Mahharul berharap menerusi penganjuran program seperti ini dapat memberi sinar yang baru kepada golongan kurang upaya supaya tidak merasa rendah diri terhadap kekurangan diri dalam menjalani kehidupan ini.

Selain itu, tambahnya dengan adanya sumbangan dan persembahan daripada Rakan Muda mampu memberikan kegembiraan kepada golongan kurang upaya ini.

“Selain itu sokongan dan komitmen daripada semua pihak sangat diperlukan supaya program seperti ini dapat diteruskan pada masa hadapan,” ujarnya lagi.